Tak kisah lokal, warisan atau naturalisasi, mereka semua pemain Malaysia – Peter Cklamovski

149

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Peter Cklamovski menyifatkan bahawa status pemain-pemain Harimau Malaya – sama ada pemain lokal, warisan atau naturalisasi – adalah perkara yang tidak penting buat dirinya.

Tegasnya, semua pemain merupakan warganegara Malaysia dan mereka berjuang bersungguh-sungguh apabila menyarung jersi kebangsaan.


“Sama ada mereka pemain lokal, warisan mahupun naturalisasi, bermain di dalam atau luar negara, bagi saya itu tidak penting. Saya akan memilih yang terbaik untuk bermain.

Kem kebangsaan untuk kali ini agak unik kerana musim baru saja tamat, dan kita buat panggilan secara tiga fasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Namun, Cklamovski berkata bahawa sudah tentu beliau mahu memberikan peluang kepada pemain-pemain lokal sekiranya mereka layak.

Tambahnya, beliau juga gembira dapat memberi peluang kepada pemain-pemain muda dalam panggilan kem kebangsaan pada kali ini.

“Pada fasa satu ini, kita ada enam pemain bawah 23 tahun dan salah seorang daripada mereka adalah pemain terbaik perlawanan pada malam ini.

Saya sudah katakan bahawa saya percaya pemain muda, saya percayakan pemain Malaysia, sama ada yang bermain di Liga Super atau liga luar negara.”

Mengenai perlawanan menentang Cape Verde, beliau menegaskan masih ada ruang yang perlu diperbaiki menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.

Jelas beliau, kehadiran pemain-pemain yang akan tiba pada fasa kedua dan ketiga akan menguatkan lagi pasukan dan memberi lebih banyak pilihan buat dirinya.