Stanley Bernard ganti Annuar Musa jadi Presiden KL City FC?

1,966

CEO Kuala Lumpur City FC(KL City FC), Stanley Bernard dilihat calon yang paling cocok untuk menggantikan Tan Sri Annuar Musa sekiranya beliau meletakkan jawatan daripada kerusi presiden kelab itu.

Stanley dilihat memenuhi segala kriteria yang diperlukan untuk mengemudi sesebuah kelab bola sepak. Beliau mempunyai karismanya tersendiri dan mempunyai hubungan yang baik dengan peminat terutamanya peminat KL City FC.


Sebagai seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan yang berpengalaman luas dalam kancah bola sepak tempatan sudah pasti beliau paling layak untuk menduduki kerusi nombor satu kelab itu. Beliau tahu budaya bola sepak tempatan dan juga selok belok pengurusan sesebuah pasukan.

Untuk mengemudi pasukan yang mempunyai sejarah besar seperti KL City ini, sudah pasti seorang nakhoda yang berkaliber diperlukan untuk merancang hala tuju pasukan tidak kira untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Biarpun baru setahun jagung terjun ke dalam bidang pengurusan pasukan, bekas pemain berusia 36 tahun itu berjaya membawa KL City FC memenangi Piala Malaysia selepas 32 tahun kemarau kejuaraan dan seterusnya layak bersaing dalam Piala AFC 2022.

Kredibiliti beliau sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Sebagai seorang yang mempunyai passion dan semangat yang tinggi dalam bola sepak, nama beliau disebut-sebut untuk menggalas jawatan yang lebih besar selepas ini.

Namun, dalam pada peminat berharap Stanley menduduki kerusi nombor satu KL City FC, mereka harus realistik. Presiden kelab-kelab yang bertanding kebanyakan mereka merupakan ahli-ahli berkepentingan seperti ahli-ahli politik.

Agak sukar untuk Stanley yang dikira masih mentah dalam bidang pengurusan untuk dipilih secara merit mengikut kelayakan yang sudah beliau ada. Untuk merebut jawatan daripada individu-individu yang mempunyai pengaruh yang besar mungkin sukar memandangkan beliau bukan calon popular biarpun mendapat sokongan yang tinggi daripada peminat-peminat.