Kelab perlu jujur dalam mengisytiharkan pendapatan dan perbelanjaan mereka – Ab Ghani Hassan
Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan memberitahu susulan isu kewangan yang sering membelenggu kelab-kelab menyaksikan pihaknya akan memperkenalkan peraturan kawalan kewangan yang lebih ketat melalui Fair Financial Play (FFP).
Menurut Ab Ghani, FFP yang akan diperkenalkan akan menggariskan panduan utama iaitu mengehadkan perbelanjaan kelab untuk gaji pemain dan kakitangan kepada maksimum 80% jumlah pendapatan kelab.
Ab Ghani turut menekankan keperluan transparansi dan kejujuran kelab dalam mengisytiharkan pendapatan dan perbelanjaan mereka.
“Apa yang kita minta pada hari ini, kejujuran dalam mengisytiharkan pendapatan mereka. Itu penting,”
tegasnya.
Beliau pada masa sama turut memaklumkan bahawa pihak MFL akan melakukan pemantauan bulanan dan bukannya setiap tiga bulan seperti sebelumnya, terhadap rekod kewangan dan pembayaran gaji kelab.
“Sistem baru ini akan ‘lock’ sekiranya terdapat percanggahan atau ketidakpatuhan, menghalang kelab daripada berbelanja melebihi kemampuan.”
Dalam pada itu, Ab Ghani turut mengulas mengenai pertambahan kuota pemain import yang akan diperkenalkan pada musim hadapan yang mana beliau menegaskan bahawa kehadiran pemain import bukanlah penghalang buat pemain tempatan, sebaliknya pemangkin kepada peningkatan pemain tempatan.
“Sebab mereka (pemain tempatan) bersaing dengan pemain asing yang diimport dalam Liga Malaysia. Beliau (pemain tempatan) dah mula bersaing dengan peringkat negara di peringkat kelab.
Persaingan sengit di peringkat kelab ini membolehkan pemain tempatan menyerlah dan lebih bersedia untuk bersaing di peringkat antarabangsa, termasuk menentang pasukan kuat seperti Arab Saudi dan Qatar.”
Sementara itu, Ab Ghani juga berkata pihaknya sedang melaksanakan perubahan signifikan dengan memendekkan tempoh musim liga.
“Sebab MFL cuba untuk menyamakan kalendar dengan negara-negara Asia yang lain.”
Jelasnya usaha tersebut telah berjaya dan mulai 2026, musim liga akan berjalan selama 10 bulan, berbanding 14 bulan sebelumnya.