Status pemain warisan baharu Rodrigo Holgado akan diumumkan oleh Peter Cklamovski – Joehari

327

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub memberitahu status pemain warisan baharu Rodrigo Holgado akan menyarung jersi Harimau Malaya akan diumumkan sendiri oleh ketua jurulatih Peter Cklamovski tidak lama lagi.

“Tunggu pengumuman daripada Coach Peter Cklamovski nanti,”

jawabnya ringkas.

Joehari berkata demikian selepas Mesyuarat bersama Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) dan perjumpaan bersama Kelab Bola Sepak (FC) yang mana beliau menafikan bahawa tiada kerjasama antara FA dan FC sejak penswastaan pasukan.


“Terdapat andaian yang sering timbul dalam kalangan masyarakat bahawa tiada hubungan kerja antara Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) dan Kelab Bola Sepak (FC), khususnya disebabkan isu-isu berkaitan pembayaran gaji dan pengurusan kewangan. 

Namun, realitinya adalah sebaliknya kerana kebanyakan kelab FC masih dimiliki oleh FA masing-masing, justeru FA tetap bertanggungjawab terhadap kebajikan dan pengurusan FC.”

Mesyuarat yang berlangsung di Wisma FAM pada petang Jumaat menyaksikan penerimaan wakil-wakil FA dan FC terhadap usaha penyelarasan amat positif dan memberangsangkan.

“Selaku Presiden FAM, saya akan memperkenalkan pendekatan baharu yang lebih proaktif, iaitu dengan mengadakan pertemuan secara berkala antara FAM, FA dan FC. Pendekatan ini bukan sahaja akan dilaksanakan secara rasmi seperti mesyuarat yang diadakan hari ini, malah pihak kami juga akan turun padang ke setiap negeri untuk mengadakan sesi dialog dan libat urus bersama semua pihak yang terlibat secara lebih kerap.”

Tambahnya lagi, usaha tersebut bertujuan memastikan kerjasama yang kukuh dan berterusan antara FA dan FC dapat diwujudkan demi pembangunan bola sepak negara secara menyeluruh.

Sementara itu, Joehari turut memuji persembahan bertenaga yang dipamerkan oleh skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Cape Verde, yang berkesudahan seri 1-1. 

Keputusan ini dianggap membanggakan memandangkan Cape Verde merupakan pasukan yang berada di ranking ke-72 dunia.

“Saya telah menonton sendiri perlawanan malam tadi dan saya boleh katakan, tahap persembahan yang dipamerkan sangat tinggi dan membanggakan. Ini membuktikan bahawa pemain tempatan kita sebenarnya mempunyai kualiti dan mampu bersaing di pentas antarabangsa.”

Antara pemain yang mencuri perhatian dalam perlawanan tersebut ialah Ubaidullah, yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan yang mana Joehari menyifatkan pencapaian tersebut sebagai sesuatu yang tidak dijangka tetapi sangat membanggakan.

“Ubaidullah adalah produk daripada Skuad Projek FAM-MSN ketika saya menjadi pengurus pasukan dahulu. Saya sangat bangga dengan pencapaian beliau. Ini menunjukkan pelaburan terhadap pembangunan bakat muda tempatan mula membuahkan hasil.”

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan Harimau Malaya kerana berani memberi peluang kepada pemain muda dalam aksi kompetitif.

Dalam masa sama, Joehari turut menyatakan keyakinannya terhadap kesiapsiagaan pasukan untuk menghadapi perlawanan seterusnya menentang Vietnam.

“Kita bawa semangat daripada perlawanan semalam ke hadapan. Saya sangat positif dan teruja untuk melihat apa yang akan ditampilkan oleh Harimau Malaya selepas ini.”