Peter Cklamovski fokus tingkatkan intensiti Harimau Malaya menjelang aksi menentang Vietnam
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menegaskan bahawa persiapan Harimau Malaya kini semakin berada di landasan tepat menjelang aksi pemanas badan menentang Cape Verde dan perlawanan penting pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun nanti.
Menurut Cklamovski, kem latihan selama dua minggu telah memperlihatkan peningkatan dari segi aspek fizikal pasukan berdasarkan data yang dikumpul daripada perlawanan terakhir pada 29 Mei lalu.
Beliau menyifatkan sesi latihan dan aksi menentang Cape Verde sebagai peluang terbaik untuk terus membina kekuatan fizikal dan intensiti permainan pasukan.
“Data dari perlawanan sebelum ini menunjukkan peningkatan tertinggi dalam sejarah skuad kebangsaan. Ia membuktikan kami berada di laluan yang betul. Perlawanan esok walaupun secara tertutup tetap penting sebagai medan latihan berintensiti tinggi,”
katanya.
Jelas Cklamovski, walaupun perlawanan kedua menentang Cape Verde bukan aksi kompetitif, tetapi beliau menganggap ia penting dalam fasa terakhir persiapan pasukan berikutan pasukan lawan kini mendahului kumpulan kelayakan di benua Afrika.
“Cape Verde pasukan bertaraf dunia, sedang berjuang ke Piala Dunia. Ini cabaran besar dan kami mahu lihat sejauh mana kami boleh pergi dari segi tempo dan keupayaan fizikal.”
Dalam pada itu, mengulas mengenai spekulasi tentang kehadiran tiga pemain baharu untuk memperkuatkan pasukan, Cklamovski melihatnya sebagai tanda positif terhadap minat berterusan rakyat Malaysia terhadap bola sepak tempatan.
“Kita sedang membina sesuatu yang istimewa untuk bola sepak Malaysia. Tidak kira siapa yang bermain, yang penting semangat dan kesungguhan untuk membawa nama negara.”
Sementara itu, Cklamovski memberitahu bahawa mereka akan memberikan segala-galanya pada aksi 10 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sekaligus menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam lebih sedekad.
“Lebih sedekad kita tidak menang ke atas Vietnam. Kami menghormati mereka sepenuhnya, tapi kami akan beri segalanya untuk ubah sejarah itu.”