Safawi terbuka dengan kehadiran pemain baharu, tegaskan kepentingan persaingan sihat
Pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid menyambut baik kehadiran beberapa muka baharu dalam kem latihan skuad kebangsaan menjelang aksi penting menentang Vietnam, sambil menegaskan bahawa persaingan sihat amat penting dalam membentuk pasukan yang lebih mantap.
Menurut Safawi, tiada isu untuk menerima pemain baharu termasuk mereka yang berdarah Malaysia dari luar negara, asalkan setiap pemain menunjukkan komitmen penuh dalam sesi latihan.
“Sebagai pemain tempatan, saya tiada masalah dengan kehadiran pemain baharu. Persaingan dalam latihan itu penting. Siapa pun yang ada dalam pasukan, semua kena beri 100%,”
katanya.
Safawi berkata suasana latihan yang kompetitif akan memberi manfaat besar kepada pasukan dan mendorong setiap pemain untuk tampil lebih baik.
“Bagi saya bagus untuk pasukan. Dari situlah kita saling cabar dan jadi lebih baik. Saya sendiri akan terus kerja keras dan beri yang terbaik.”
Dalam pada itu, Safawi memberitahu tahap persiapan pasukan ketika ini berada landasan yang betul, khususnya selepas ketua jurulatih Peter Cklamovski menekankan aspek intensiti tinggi sejak hari pertama latihan menjelang aksi penting kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Dari hari pertama lagi, coach tekankan intensiti tinggi. Jadi selepas perlawanan pertama tempoh hari, kami semua buat kerja rumah untuk pastikan permainan kami semakin baik. Esok (menentang Cape Verde) juga satu peluang penting, dan sudah tentu kami semua sudah bersedia untuk aksi menentang Vietnam nanti.”
Sementara itu, Safawi juga mengulas mengenai pertukaran posisi yang dilakukan oleh Cklamovski selepas beliau kini diberi peranan berbeza dalam skuad negara.
“Itu kali pertama saya bermain dalam posisi ‘attacking’ seperti sekarang di pentas antarabangsa. Tapi saya tiada masalah dengan peranan itu. Coach tahu apa yang saya buat dalam latihan, dan saya ambil tanggungjawab itu untuk buktikan sesuatu. Alhamdulillah kami dapat keputusan yang baik.”