Manchester United intai Bryan Mbeumo untuk perkuat pasukan bagi saingan PL musim depan
Manchester United kini dikaitkan dengan penyerang lincah Brentford, Bryan Mbeumo, sebagai antara sasaran utama untuk memperkukuh jentera serangan menjelang musim baharu.
Dipetik dari Skysports, Mbeumo dilaporkan menunjukkan minat untuk menyertai Red Devils sekaligus memberi petanda positif buat kelab Old Trafford yang sedang melalui fasa perubahan di bawah pengendali baharu, Ruben Amorim.
Setakat ini, belum ada rundingan rasmi diadakan antara United dan Brentford, namun perbincangan dijangka akan dimulakan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, bukan United sahaja yang berusaha mendapat khidmat pemain antarabangsa Cameroon itu kerana beberapa kelab Premier League (PL) lain turut memantau situasi Mbeumo dengan rapat.
Mbeumo yang telah lama berada dalam radar United, dianggap sesuai dengan sistem taktikal Amorim.
Tambahan pula, dengan masa depan dua tonggak utama iaitu Alejandro Garnacho dan Bruno Fernandes masih belum pasti dan United mahu bertindak pantas agar Amorim mempunyai masa mencukupi untuk menyesuaikan pemain baharu dengan taktikalnya.
Penyerang berusia 24 tahun itu bakal memasuki tahun terakhir kontraknya bersama Brentford, namun kelab tersebut memiliki klausa lanjutan selama setahun, menjadikan kedudukan mereka kukuh dalam sebarang rundingan.
Brentford juga bersedia untuk mendengar tawaran terhadap Mbeumo dan seorang lagi pemain utama mereka, Yoane Wissa, tetapi tidak berada dalam tekanan untuk menjual.
Sementara itu, Brentford telah menetapkan nilai lebih £60 juta untuk Mbeumo yang mana nilai itu dianggap setimpal dengan prestasi konsisten pemain itu di Premier League dan potensi besar yang dimilikinya untuk beraksi di pentas lebih tinggi.
Sekiranya United memenuhi syarat itu, Mbeumo dijangka menjadi antara pembelian strategik penting musim ini.