Ryan Mason sah dilantik sebagai pengendali baharu West Brom
Kelab West Bromwich Albion mengesahkan pelantikan Ryan Mason sebagai ketua jurulatih baharu dengan kontrak selama tiga tahun.
Dipetik dari BBC, bekas jurulatih Tottenham Hotspur itu menggantikan Tony Mowbray yang dipecat pada 21 April lalu.
Pelantikan ini menamatkan perjalanan tujuh tahun Mason sebagai jurulatih di Spurs, kelab yang turut membesarkannya sebagai pemain dan tempat beliau mencatat 70 penampilan dalam skuad utama.
Mason, 33, menyifatkan peluang mengendalikan West Brom sebagai satu penghormatan dan cabaran yang amat dinantikan.
“Ini adalah kelab besar dengan infrastruktur yang kukuh dan penyokong yang hebat. Saya yakin kami mampu capai sesuatu yang luar biasa bersama-sama. Selepas perbincangan panjang bersama pihak pengurusan, saya rasa West Brom adalah tempat terbaik untuk saya terus berkembang sebagai jurulatih,” ujar Mason.
Beliau turut berjanji membawa semangat, dedikasi dan cita-cita tinggi ke The Hawthorns, dalam usaha memacu kelab kembali ke Premier League selepas kali terakhir beraksi pada musim 2020-21.
Musim lalu, West Brom hanya gagal ke play-off selepas menamatkan saingan di luar kelompok enam teratas.
Mason membawa masuk dua tenaga baharu dalam barisan kejurulatihannya iaitu Nigel Gibbs dari Reading dilantik sebagai penolong jurulatih, manakala Sam Pooley dari Rangers akan bertindak sebagai jurulatih pasukan utama merangkap ketua prestasi.
Mason sebelum ini pernah menjadi pengurus interim Tottenham sebanyak dua kali, iaitu selepas pemecatan Jose Mourinho pada 2021 dan Antonio Conte pada 2023, serta menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan utama di bawah kendalian Ange Postecoglou.