Yuran Fernandes akui dirisik kelab Top 5 Liga Super, fokus kekal di Indonesia buat masa ini

Pertahanan antarabangsa Cape Verde yang kini beraksi bersama PSM Makassar, Yuran Fernandes, mengesahkan bahawa dirinya sedang dipantau oleh sebuah kelab elit Liga Super Malaysia.
Fernandes bagaimanapun berkata beliau kekal komited terhadap kontraknya bersama kelab Indonesia tersebut, sekurang-kurangnya buat masa ini selepas hukuman penggantungan terhadapnya dikurangkan kepada tiga bulan.
“Saya ada beberapa perbincangan… tetapi saya tak boleh dedahkan. Ia sebuah kelab teratas.
Saya akan kembali bermain dengan pasukan saya tidak lama lagi,”
katanya.
Terdahulu, Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) telah menggantung Fernandes selepas beliau mengkritik mutu pengadilan saingan Liga 1 Indonesia berikutan tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan, Nendi Rohaendi dalam aksi PSS Sleman dan Juku Eja.
Dalam pada itu, Fernandes yang turun beraksi pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Malaysia baru-baru ini berkata aksi tersebut dijadikan sebagai ujian berguna untuk pasukan Cape Verde yang masih dalam proses membina keserasian.
“Ia satu perlawanan yang sangat baik, ujian yang sangat bagus untuk pasukan kami. Keputusan bukanlah yang kami inginkan, tetapi saya sangat berbangga dengan persembahan kami.”
Beliau pada masa sama turut memuji corak permainan Harimau Malaya yang disifatkan cukup berintensiti tinggi terutamanya pada separuh masa pertama.
“Aksi di atas padang memang mengagumkan.”