Bruno Fernandes sah kekal di Old Trafford, tolak tawaran Al-Hilal
Kapten Manchester United, Bruno Fernandes, mengesahkan beliau telah menolak tawaran lumayan daripada kelab Saudi Pro League, Al-Hilal, kerana mahu terus bersaing di peringkat tertinggi bersama kelab Premier League itu.
Dipetik dari BBC, menurut Fernandes, tawaran tersebut sangat menarik dan mampu menggandakan gajinya di Old Trafford.
Namun, selepas berbincang bersama keluarga, beliau memilih untuk kekal setia di Manchester kerana masih yakin dengan kemampuannya untuk beraksi di pentas tertinggi bola sepak dunia.
“Manchester United tidak mahu menjual saya. Mereka kata kalau saya nak pergi, saya boleh, tapi mereka tak perlukan duit. Saya juga bercakap dengan jurulatih Ruben Amorim yang minta saya kekal,” ujar Fernandes.
Pemain antarabangsa Portugal itu turut mengakui bahawa perpindahan ke Arab Saudi merupakan pilihan yang mudah dengan kehadiran ramai rakan senegaranya seperti Cristiano Ronaldo, Joao Cancelo dan Ruben Neves di sana.
Tegas Fernandes lagi, beliau masih mahu beraksi dalam kejohanan-kejohanan utama dan kekal menikmati bola sepak di tahap terbaik.
“Saya mahu bermain di peringkat tertinggi, dalam kejohanan-kejohanan besar. Saya tahu saya masih mampu dan saya mahu gembira dengan apa yang saya cintai,” katanya.
Difahamkan, tiada rundingan rasmi dilakukan antara Al-Hilal dan Manchester United, tetapi kelab Saudi itu dipercayai bersedia menawarkan antara £80 juta hingga £100 juta untuk mendapatkan Fernandes menjelang Piala Dunia Kelab FIFA bulan ini.
Fernandes, yang menyertai United dari Sporting pada Januari 2020, telah menjaringkan 98 gol dalam 290 penampilan.
Tindakannya menolak tawaran besar itu disambut baik penyokong dan pengurusan kelab, yang melihatnya sebagai simbol kesetiaan dan semangat juang yang tinggi.