KBS perkasa komuniti e-sukan dengan suntikan dana sebanyak RM1.5 juta

149

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meneruskan komitmen memperkasa komuniti e-sukan negara menerusi pelancaran Dana Esukan KBS (DEK) 2025 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.5 juta, peningkatan sebanyak RM500,000 berbanding tahun sebelumnya.

Pengumuman ini disampaikan melalui Esports Integrated (ESI), inisiatif di bawah Impact Integrated, dan merupakan tahun ketiga pelaksanaan DEK sejak diperkenalkan pada 2023. 


Sehingga kini, lebih 80 inisiatif akar umbi telah mendapat manfaat menerusi pelbagai program seperti kejohanan, pembangunan bakat, penghasilan kandungan digital, dan penglibatan komuniti.

DEK 2025 membuka lebih banyak peluang kepada organisasi, kelab komuniti, pencipta kandungan serta penganjur tempatan untuk menyumbang kepada landskap esukan negara yang progresif, inklusif dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abdul Halim, menegaskan bahawa DEK bukan sekadar skim bantuan kewangan, malah simbol keyakinan kerajaan terhadap potensi besar esukan dalam negara.

“Melalui DEK, kita ingin memastikan semua penggiat industri berpeluang memainkan peranan aktif dalam membangunkan ekosistem esukan yang lebih kompetitif,”

katanya.

Bagi membantu pemohon menyediakan cadangan program yang berkualiti, ESI akan menganjurkan sesi libat urusmerangkumi panduan penyediaan kertas kerja dan sesi soal jawab. 

Sesi ini akan terbuka kepada pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, organisasi belia dan kumpulan komuniti, dengan maklumat lanjut akan diumumkan tidak lama lagi.

Permohonan dibuka dari 4 Jun hingga 31 Julai 2025 dan boleh dibuat secara dalam talian di www.esportsintegrated.com/danaesukankbs

Keputusan akan diumumkan pada 28 Ogos 2025, manakala pelaksanaan program dijadualkan berlangsung antara September hingga November 2025.