Chelsea bayar Manchester United £5 juta untuk hantar pulang Sancho

101

Pemain sayap, Jadon Sancho akan kembali ke Manchester United selepas Chelsea memutuskan untuk tidak mengikatnya secara tetap, walaupun terdapat klausa pembelian secara tetap dalam perjanjian pinjaman musim lalu.

Keputusan ini dibuat selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai terma peribadi, terutamanya berkaitan struktur gaji yang berbeza antara kedua-dua kelab, di mana beliau menerima gaji mingguan sekitar £250,000 seminggu di United – satu nilai yang tidak dipersetujui oleh Chelsea.


Chelsea pada asalnya bersetuju untuk membeli Sancho secara tetap dengan harga £25 juta jika mereka menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di atas tangga ke-14, syarat yang telah dipenuhi apabila mereka menamatkan kedudukan di tangga keempat musim ini.

Namun, kelab London itu memilih untuk membayar penalti sebanyak £5 juta kepada Manchester United untuk membatalkan perjanjian tersebut.

Sepanjang tempoh pinjamannya di Stamford Bridge, Sancho mencatatkan 5 gol dan 10 bantuan gol dalam 41 penampilan, termasuk jaringan penting dalam kemenangan Chelsea di final UEFA Conference League menentang Real Betis baru-baru ini.

Dengan hanya setahun baki kontraknya bersama Manchester United, masa depan Sancho di Old Trafford masih tidak menentu.

United kini sedang mempertimbangkan untuk menjual Sancho bagi mengurangkan beban kewangan dan memberi ruang kepada pemain baharu.

Antara destinasi yang berpotensi untuk Sancho termasuk bekas kelabnya, Borussia Dortmund serta Bayer Leverkusen yang kini dikendalikan oleh bekas pengurus United, Erik ten Hag, serta beberapa kelab dari Liga Pro Saudi seperti Al-Hilal dan Al-Nassr.

Dengan jendela perpindahan musim panas semakin hampir, keputusan mengenai masa depannya dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.