Ronaldo bawa Portugal ke final Nations League, tundukkan Jerman di Munich

25

Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi wira apabila jaringan ke-137 peringkat antarabangsa miliknya membantu Portugal bangkit menewaskan Jerman 2-1 dalam separuh akhir UEFA Nations League di Munich awal pagi tadi.

Dipetik dari BBC, walaupun ketinggalan hasil jaringan Florian Wirtz pada minit ke-48, skuad kendalian Roberto Martinez tidak mengalah. 


Wirtz, yang kini hampir menyertai Liverpool dengan nilai perpindahan £109 juta, menanduk masuk hantaran Joshua Kimmich yang membuat penampilan ke-100 bersama Jerman.

Gol tersebut mencetuskan kontroversi apabila pemain Portugal mendakwa Nick Woltemade menghalang Ruben Dias, namun pengadil Slavko Vincic tetap mengesahkan jaringan selepas semakan VAR.

Portugal bangkit lima minit kemudian menerusi pemain gantian Francisco Conceicao yang melakukan larian solo dari sebelah kanan sebelum melepaskan rembatan cantik menewaskan Marc-Andre Ter Stegen.

Hanya lima minit kemudian, Ronaldo yang tidak dikawal menyempurnakan hantaran rendah Nuno Mendes untuk gol kemenangan, sekaligus membawa Portugal ke final menentang pemenang antara Perancis atau Sepanyol.

Portugal kini mencatat kemenangan kompetitif pertama ke atas Jerman sejak Euro 2000, ketika Sergio Conceicao (bapa Francisco) menjaringkan hatrik dalam kemenangan 3-0.

Perlawanan ini juga mencatat sejarah sebagai pertembungan dramatik di Allianz Arena yang sebelum ini menjadi lokasi final Champions League minggu lalu.

Portugal sebelum ini menjulang trofi edisi sulung Nations League pada 2019, dan kini kembali ke final untuk cuba menambah koleksi kejuaraan mereka.

Ronaldo membuktikan bahawa walaupun berusia 40 tahun, beliau masih mampu memberi impak besar di pentas antarabangsa.