Simone Inzaghi sah terajui Al-Hilal selepas tinggalkan Inter Milan

20

Simone Inzaghi sah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu kelab gergasi Liga Pro Saudi, Al-Hilal, hanya sehari selepas mengumumkan perpisahan dengan Inter Milan.

Dipetik dari BBC, pelantikan ini hadir selepas jurulatih berusia 49 tahun itu meninggalkan Inter secara rasmi pada Selasa, susulan kekalahan memalukan 5-0 kepada Paris Saint-Germain dalam aksi final UEFA Champions League pada hujung minggu lalu. 


Kekalahan itu turut menyaksikan Inter menamatkan musim tanpa sebarang trofi buat kali pertama sejak musim 2019–2020.

Inzaghi memulakan tugas di San Siro pada 2021 dan berjaya membawa Nerazzurri menjuarai Serie A musim 2023–2024 serta memenangi dua edisi Coppa Italia. 

Selain itu, beliau turut memimpin Inter ke pentas akhir Liga Juara-Juara 2023 sebelum tewas tipis 1-0 kepada Manchester City.

Beliau menggantikan tempat Jorge Jesus, yang dipecat meskipun membawa Al-Hilal menjuarai Saudi Pro League musim ini, berikutan kegagalan mara ke final AFC Champions League Elite (ACL Elite).

Kontrak Inzaghi bersama Al-Hilal dilaporkan bernilai sekitar €30 juta (RM150 juta) setahun, menjadikannya antara jurulatih dengan bayaran tertinggi di dunia.

Tugas utama pertamanya bersama Al-Hilal adalah mengendalikan pasukan dalam saingan Piala Dunia Kelab FIFA di Amerika Syarikat. 

Perlawanan pembukaan menentang Real Madrid dijadualkan berlangsung pada 18 Jun ini di Miami.

Perlantikan ini menandakan permulaan baharu buat Inzaghi dan satu lagi langkah besar dalam era kebangkitan bola sepak Saudi.