Amirah Rahman bangga tampil cemerlang bersama Malayan Tigress di Tri Nation Cup

Pertahanan skuad wanita kebangsaan, Amirah Rahman, menyifatkan pengalamannya beraksi dalam kejohanan persahabatan antarabangsa Tri Nation Cup di Bhutan sebagai satu momen istimewa dalam kariernya.
Menurut Amirah, meskipun hanya beraksi dalam dua perlawanan, pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam, terutama buat dirinya yang mempamerkan aksi cemerlang dan menjadi ‘unsung hero’ pada detik-detik genting.
“Siapa je tak terkejut dapat menang? Lepas tu dapat diturunkan oleh Coach Joel Cornelli dapat menang pula tu. Satu rezeki, satu pengalaman yang baik sangat untuk saya.
Oh moment itu, pada awal saya ‘tackle’ tu kan tak kena, jadi macam takut dah ni. Tapi Alhamdulillah saya dapat balik ‘tackle’ tu.
Memang dalam hati, memang tak mahu ada bolos lepas pada lapis satu tu. Lepas tu dapat pula ‘tackle’ tu. Satu momen yang paling saya bangga sekali. Yang orang kata, kalau balik Malaysia macam… macam best lah best!,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Amirah berkata kejohanan Tri Nation Cup ini juga merupakan ujian pertama buat Malayan Tigress di bawah kendalian ketua jurulatih baru dan beliau mengakui terdapat cabaran untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan dan taktik baru.
“Dengan coach baru buat masa sekarang, susah sikit nak adaptasi. Susah nak adaptasi tapi mahu tak mahu kita kena belajar. Benda kita boleh belajar, tak ada masalah pun. Ambil masa sikit sebab dia pun baru, dia pun nak ajar dengan orang yang baru.”
Amirah juga melihat perkembangan positif yang berlaku dalam pasukan meskipun di bawah kendalian jurulatih baharu, Joel yang mana baginya kekalahan tipis 2-1 dalam perlawanan pertama dan kemenangan dalam aksi kedua jelas membuktikan pasukan semakin mampu menyesuaikan diri dengan taktikal serta pendekatan latihan yang diterapkan oleh jurulatih tersebut.
Tambahnya lagi, proses adaptasi yang berlaku dengan cepat menunjukkan keyakinan pemain terhadap arah tuju baharu pasukan.
Sementara itu, dengan pengalaman di Bhutan sebagai permulaan, fokus Amirah dan skuad kebangsaan kini beralih ke misi yang lebih besar dan mencabar iaitu Kelayakan Piala Asia (AFC) Wanita.
“Mungkin dari segi taktikal, dari segi fizikal, mentalitI. Untuk hadap team dekat AFC tu, semua team yang kuat-kuat kan? Jadi kena buat persiapan mental dari sekarang. Dengan latihan semua kena buat persediaan bermula sekarang.”