Kami bersatu untuk angkat maruah sepak takraw negara – Aiman

45

emain sepak takraw quadrant kebangsaan, Shahalril Aiman tidak menjangkakan kemenangan skuad negara ke atas Jepun 2-0 pada kejohanan ASTAF Sepak Takraw Asian Cup 2025 Mei lalu.

Menurut Aiman, kategori quadrant adalah kategori baru yang diwujudkan di dalam dunia sepak takraw membuatkan mereka cukup teruja apabila berjaya melakar sejarah di kejohanan tersebut.


“Walaupun tiada pasukan Thailand, pembentukan pasukan quadrant kebangsaan ini susah kerana mempunyai empat pemain dalam satu gelanggang memandangkan kesemua pemain belum ada keserasian,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Aiman pada masa sama turut membidas dakwaan segelintir pihak yang mengatakan kemenangan mereka itu diperoleh kerana ketiadaan pasukan gergasi dari Thailand.

Sebelum ini, pasukan quadrant kebangsaan pernah tewas kepada Vietnam di Kejohanan Dunia namun mereka bangkit tebus kekecewaan itu di kejohanan ASTAF.

Beliau juga berkata kejayaan pasukan quadrant kebangsaan membuktikan bahawa sepak takraw negara berpotensi untuk terus cipta kejayaan dan bukannya sukan yang patut dipandang remeh.

Atlet berusia 24 tahun itu juga bertekad mahu mengubah pemikiran masyarakat yang masih menganggap sukan sepak takraw sebagai sukan ‘kampung’.

“Selama Persatuan Sepak Takraw (PSM) dipegang oleh Dato’ Sumali, pasukan negara berjaya memperoleh keputusan cukup positif berbanding sebelum ini dan kini sukan sepak takraw cukup popular dalam kalangan masyarakat, malah semakin ramai orang mula bermain sepak takraw.”

Dalam pada itu, Aiman juga berkongsi antara cabaran yang beliau hadapi semasa berada bersama pasukan kebangsaan.

“Cabaran yang dihadapi oleh saya adalah perlu kekal konsisten dengan permainan saya dan pada masa sama saya dan rakan sepasukan juga perlu mendapatkan keserasian berikutan masing-masing menjalani latihan yang berbeza.”

Terdahulu, Aiman yang merupakan salah seorang apit kiri terbaik Penang Black Panthers telah berhijrah ke kelab PDRM Defenders selepas menjawat jawatan sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sekarang nama saya semakin meningkat naik. Alhamdulillah sokongan dan dorongan daripada keluarga bantu sedikit sebanyak untuk mengekalkan semangat saya.”

Sementara itu, beliau juga kini sedang menunggu panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan bagi membuat persiapan untuk mengharungi kejohanan King’s Cup Hatyai pada Julai depan.

Beliau juga berharap agar mereka dapat menamatkan kemarau panjang 35 tahun untuk meraih kejuaraan bagi acara regu berpasukan selepas kali terakhir mereka berjaya meraih kejayaan pada temasya Sukan SEA Manila 1991.