Kedah FA & Perak FA antara 12 pasukan sah bersaing di Liga A1 musim depan

Presiden Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi mengesahkan bahawa sebanyak 12 pasukan telah disahkan layak untuk bersaing dalam saingan Liga A1 musim 2025/26 yang kini diiktiraf sebagai liga Divisyen 2 dalam struktur bola sepak kebangsaan.
12 pasukan tersebut adalah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC 2, Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC II, Machan FC, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Terengganu (MUFT), Kedah FA, Perak FA, KRW Kelantan, Bunga Raya FC, dan Kelantan WTS FC.
Menurut Datuk Wira Yusoff, Liga A1 bukan lagi dianggap sebagai Division 3 seperti musim-musim lalu, sebaliknya dinaik taraf menjadi semi-professional league Division 2 sebagai usaha memperkukuh struktur pembangunan bola sepak negara.
“Liga A1 kini kita anggap sebagai Division 2, bukan lagi Division 3. Jadi tentu sekali kita kenakan kriteria lebih ketat supaya pasukan yang masuk benar-benar bersedia dari segi kewangan, pengurusan dan infrastruktur,”
jelas beliau selepas mesyuarat Lembaga Pengarah AFL di Sportizza.
Selain 12 pasukan yang telah sah, tiga lagi pasukan berada dalam kategori kelulusan bersyarat iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Guar Syed Alwi FC (GSA FC) dari Perlis dan FC Seoul Phoenix, kelab luar negara dari Korea Selatan yang sedang melengkapkan proses dokumentasi.
“GSA FC merupakan juara Liga A2 tahun lalu, tetapi masih belum lengkap dari aspek dokumentasi. Saya sendiri telah menghubungi EXCO negeri Perlis pagi ini dan nampaknya mereka komited untuk menyokong GSA FC.”
Dua lagi kelab dalam senarai menunggu ialah UM Damansara United FC dan Ipoh City FC, yang akan dipertimbangkan jika berlaku pengesahan tambahan menjelang tarikh akhir 10 hari lagi.
Dalam pada itu, Yusoff Mahadi juga menegaskan bahawa bermula musim ini, semua pasukan Liga A1 wajib menurunkan sekurang-kurangnya tiga pemain bawah 23 tahun dalam setiap perlawanan sebagai usaha memperkukuh pembangunan bakat muda.
“Ini perubahan penting yang kami perkenalkan. Pasukan perlu beri ruang kepada pemain muda. Jadi kita umumkan lebih awal supaya mereka sempat buat persediaan.”
Tambahnya lagi, pihak AFL turut menetapkan had maksimum tiga pemain import tanpa sekatan umur bagi setiap pasukan, berbanding dua sahaja musim lalu, namun, bagi mengawal risiko kewangan, pasukan diwajibkan menyediakan deposit tiga bulan gaji untuk pemain import tersebut.
“Kita turunkan deposit kepada tiga bulan kerana dulu hanya bawah umur, kini kita benarkan pemain import bebas umur. Tapi kita akan pantau berdasarkan bajet yang dihantar, jika tak mampu bayar, jangan ambil.”
Walaupun AFL sebelum ini meletakkan syarat minimum RM3 juta hingga RM5 juta sebagai keperluan kewangan, beberapa pasukan masih diberi kelonggaran berdasarkan rekod prestasi dan komitmen jangka panjang mereka dalam liga.
“Ada pasukan macam Manjung City yang hanya belanja sekitar RM1 juta, tapi mereka konsisten dan ada infrastruktur tersendiri. Kita tak rigid sangat sebab kita tahu nak bina liga ni bukan mudah.”
Datuk Wira Yusoff turut mengakui hanya lima daripada 15 pasukan musim lalu kekal menyertai musim 2025/26, manakala pasukan baharu terpaksa dibentuk bagi memastikan kesinambungan liga.
Sementara itu, Yusoff Mahadi juga menyarankan supaya lebih banyak kelab menggunakan nama lokaliti atau negeri sebagai identiti untuk meraih sokongan penyokong tempatan.
“Saya tengok kalau pasukan tu ada asas negeri, lebih kuat sikit. Macam Manjung, dia ada penyokong. Jadi saya galakkan pasukan sebut dari mana – dari Perak ke, dari Negeri Sembilan ke. Baru ada nilai dan komuniti sokong.”
Liga A1 dijadual bermula pada 25 Julai, iaitu seminggu sebelum sepak mula Liga Super.