Pelantikan E. Elavarasan sebagai penolong Kim Pan-gon adalah pilihan tepat – Mat Zan Mat Aris

705

Ketua jurulatih berpengalaman Mat Zan Mat Aris mengakui pelantikan E. Elavarasan sebagai penolong jurulatih kepada Kim Pan-gon untuk pasukan kebangsaan adalah satu pilihan yang tepat.

Menurut Mat Zan, beliau yakin bekas ketua jurulatih Sarawak United FC itu mampu membantu Kim Pan-gon dalam membentuk skuad Harimau Malaya yang ampuh.


“E. Elavarasan seorang jurulatih yang cukup berpengalaman kerana beliau sudah lebih dua puluh tahun dalam kancah bola sepak sebagai jurulatih jadi pemilihan beliau adalah satu pilihan yang tepat dan saya yakin beliau mampu membantu jurulatih baru negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah ketua jurulatih Tun Razak City FC itu lagi, Elavarasan memahami cara permainan, kenal pemain-pemain jadi beliau adalah pilihan yang sangat sesuai.

Walaupun sebelum ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan bahawa seorang penolong jurulatih yang akan dilantik adalah seorang jurulatih muda, namun Mat Zan tidak melihat ia sebagai satu masalah kerana beliau yakin Elavarasan dan Kim Pan-gon mampu bekerjasama dengan baik.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai skuad kendaliannya Tun Razak City, Mat Zan nyata berpuas hati dengan aksi anak buahnya selepas dua perlawanan dalam saingan Liga M3.

Mereka membuka tirai saingan menentang FC Langkawi yang mana mereka seri, namun mereka berjaya mengutip tiga mata ketika menentang Armed Force FC.

Selepas dua perlawanan Tun Razak City kini berada di kedudukan kedua dalam kumpulan A di belakang Manjung City FC.

Dalam pada itu, Mat Zan tidak merasa seperti downgrade apabila beliau yang mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam mengendalikan pasukan di Liga Super dan Liga Perdana kini mengendali pasukan Liga M3.

Ini kerana baginya apa yang penting adalah beliau mampu menyumbang kepada bola sepak tanah air.

“Sebenarnya saya rasa saya mampu beri sumbangan lagi kepada dunia bola sepak tanah air. Liga M3 ketika ini pun mempunyai ramai pemain-pemain dari Liga Super dan Liga Perdana jadi saya tidak melihat ada perbezaan ketara.”

Tambahnya lagi, beliau tidak mempunyai masalah untuk melatih pemain-pemainnya walaupun kebanyakan daripada mereka adalah pemain amatur, tetapi cabarannya adalah masa latihan yang singkat berikutan masing-masing mempunyai kerja hakiki dan bermain secara sambilan sahaja.

Berdasarkan prestasi semasa pemain-pemainnya, Mat Zan menyasarkan pasukannya mampu layak ke peringkat suku akhir Liga M3.

Semalam telah berlangsungnya undian saingan Piala FA yang mana Tun Razak City bakal menentang pendahulu kumpulan B iaitu BRM FC dalam perlawanan pusingan pertama.

Jika mereka menang, tugas berat bakal menanti apabila mereka akan bertemu dengan juara lapan kali Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim.