Sokongan padu penyokong beri kami motivasi untuk menang – Joao Figueiredo

Penyerang Harimau Malaya, Joao Figueiredo menyifatkan sokongan padu puluhan ribu penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai pembakar semangat utama kejayaan skuad kebangsaan menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 malam tadi.
Figueiredo yang dinobatkan sebagai Man of the Match (MOTM) turut meluahkan rasa bangga dan terharu dengan sambutan yang diterimanya sejak hari pertama bersama pasukan negara.
“Ya, saya sangat gembira. Saya memang mengimpikan saat ini sejak sekian lama. Tapi yang paling penting bukanlah jaringan saya, tetapi kemenangan pasukan dan misi kami,”
kata pemain kelahiran Brazil itu dalam sidang media selepas perlawanan.
Menurut Figueiredo, prestasi pasukan secara keseluruhan amat memuaskan, namun beliau percaya masih banyak ruang untuk diperbaiki.
“Prestasi pasukan sangat baik, tapi kami masih boleh perbaiki dan akan terus meningkat. Saya sangat berbangga berada di sini.”
Dengan kehadiran lebih 60,000 penyokong yang membanjiri stadium, Figueiredo mengakui semangat yang ditunjukkan penyokong menjadi nadi kekuatan pemain untuk terus berjuang sepanjang 90 minit.
“Hari ini di stadium… saya tak tahu, mungkin 50,000 hingga 60,000 penyokong? Ia sangat menakjubkan. Sokongan mereka beri kami motivasi untuk menang. Mereka bantu kami banyak dalam perlawanan ini.”
Dalam pada itu, biarpun menerima lambakan pujian daripada peminat selepas membantu Harimau Malaya benam Vietnam, Figueiredo tetap merendah diri dengan berkata masih banyak yang mereka perlu buktikan.
“Ini baru langkah pertama. Kami masih banyak perlu buktikan. Menang 4-0 memang baik, tapi saya tak boleh berpuas hati dengan hanya satu perlawanan. Sasaran kami jauh lebih besar.”
Beliau pada masa sama mengakui pasukan lawan turut mempunyai kualiti, namun kunci kejayaan skuad negara adalah apabila berjaya mengawal permainan dari awal hingga ke wisel penamat.
Sementara itu, kemenangan besar ini menyaksikan skuad negara menamatkan kemarau kemenangan lebih sedekad ke atas Vietnam, sekaligus mengukuhkan kedudukan untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027.