Kemenangan Harimau Malaya didedikasikan buat keluarga mangsa tragedi bas UPSI – Peter Cklamovski

329

Peter Cklamovski bukan sekadar berperanan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya yang komited terhadap pembangunan bola sepak negara, malah turut menzahirkan keprihatinan terhadap perkembangan isu semasa dalam negara, termasuk insiden tragis nahas bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Cklamovski dalam sidang media pasca perlawanan semalam dengan nada penuh empati apabila beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi.


“Pertama sekali, saya ingin mewakili seluruh pasukan kebangsaan untuk merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga yang terkesan akibat tragedi (kemalangan bas UPSI) semalam. 

Bola sepak memberikan banyak kegembiraan kepada semua, tetapi tragedi seperti ini sangat kami hormati, dan saya tahu para pemain mahu memberikan segalanya untuk meraih kemenangan demi keluarga yang terlibat,”

katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai kejayaan skuad negara menamatkan kemarau kemenangan lebih sedekad ke atas Vietnam, Cklamovski mengakui pasukannya bermula baik dalam separuh masa pertama, namun tiada jaringan berjaya disempurnakan. 

Bagaimanapun ketika rehat separuh masa pertama, beliau telah memberikan arahan taktikal berasaskan analisis video, dan hasilnya nyata memberangsangkan apabila Malaysia meledak empat gol.

“Saya rasa separuh masa pertama sangat baik — prestasi pasukan yang mantap. Kami masuk rehat dengan kedudukan 0-0, kami mungkin boleh mendahului, tetapi yang paling penting kami kekal fokus di separuh masa kedua. Kami kekal berdisiplin dan terus bekerja keras sebagai satu pasukan. 

Itu penting bagi kami kerana kami tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja. Kami bergantung kepada kesebelasan pemain di atas padang, siapa pun yang bermain. Pemain gantian juga memberikan impak yang baik

Semasa rehat, kami tunjukkan sedikit video tentang ruang-ruang yang boleh kami serang untuk cipta lebih ancaman. Kami bersetuju sebagai satu pasukan, jika kami dapat satu gol, kami akan dapat dua, tiga… dan seperti yang saya pernah kata, kami dapat empat.”

Cklamovski juga menegaskan bahawa kejayaan ini adalah hasil usaha yang bermula sejak 19 Mei, termasuk beberapa fasa latihan dan perlawanan persahabatan kompetitif seperti menentang Cape Verde.

Tambahnya lagi, kejayaan malam itu bukan hasil ‘kesebelasan terbaik’ semata-mata, sebaliknya berasaskan falsafah Kesebelasan Malaysia iaitu semangat kolektif, kerja keras, dan tanggungjawab bersama.

“Kami ada 11 kapten di atas padang. Siapa pun yang bermain, mereka mewakili semangat yang sama. Ini tentang pasukan, bukan individu.”

Beliau turut memuji pemain-pemain baharu termasuk yang beraksi di luar negara, yang menurutnya semakin serasi dengan gaya permainan dan mentaliti pasukan.

Pengendali kelahiran Australia itu juga tidak ketinggalan meluahkan penghargaan kepada penyokong setia yang membanjiri SNBJ yang mana beliau menyifatkan suasana semalam sebagai luar biasa dan penuh inspirasi.

Sementara itu, Cklamovski juga memberi bayangan bahawa skuad negara bakal mengharungi perlawanan persahabatan berintensiti tinggi pada jendela antarabangsa September, sebelum kembali fokus kepada aksi kelayakan pada Oktober.

“Kami teruja. Peminat pasti suka lawan yang akan diumumkan tidak lama lagi. Tapi buat masa ini, kami akan pulih, nilai semula dan terus bekerja.”

Dengan kemenangan meyakinkan ini, Harimau Malaya kini selangkah menghampiri pentas Piala Asia 2027, dan berpeluang mencipta sejarah baharu sebagai pasukan negara yang layak ke kejohanan paling berprestij di Asia secara berturut-turut secara merit.