Arsenal cuba ‘sailang’ Manchester United dapatkan Gyökeres

113

Arsenal dilaporkan sudah memulakan langkah mereka untuk merisik penyerang Sporting CP, Viktor Gyökeres, yang kini menjadi sasaran utama Manchester United dalam jendela perpindahan musim panas ini.

Meskipun United dilaporkan telah membuat pendekatan rasmi kepada Sporting dan mempunyai kelebihan dari segi hubungan dengan jurulatih Ruben Amorim — yang pernah membimbing Gyökeres — Arsenal sedia untuk ‘merampas’ pemain itu dan membawanya ke London.


Menurut laporan CNN Portugal, ejen pemain tersebut, Hasan Çetinkaya, baru sahaja mengadakan pertemuan bersama pemilik Arsenal di London, memberi petanda jelas bahawa Gunners serius mengejar penyerang prolifik itu.

Sebelum ini, Gyökeres juga difahamkan lebih berminat untuk menyertai Arsenal, dan pertemuan itu menguatkan lagi khabar angin mengenai minat The Gunners terhadap pemain itu.

Arsenal boleh mengambil kesempatan terhadap situasi ‘tegang’ antara pemain itu dan kelabnya, di mana beliau dikatakan bengang apabila kelab tidak mahu melepaskannya dengan harga sekitar £58–60 juta berdasarkan gentleman’s agreement yang dipersetujui.

Presiden Sporting, Frederico Varandas bagaimanapun berkata pihaknya cuma berjanji bahawa mereka tidak akan berkeras dengan klausa perlepasan berjumlah £85 juta, tetapi tetap mahukan jumlah yang bersesuaian dengan nilai semasanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Sporting tidak akan tunduk dengan “ancaman, ugutan dan penghinaan” apabila berunding untuk penjualan pemain itu.