Pemain tempatan perlu terus buktikan diri, jangan selesa – Indra Putra

Bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahyuddin menyifatkan saingan merebut tempat dalam pasukan kelab dan skuad kebangsaan sebagai cabaran yang perlu dihadapi secara positif oleh pemain tempatan.
Menurut Indra Putra, kemunculan ramai pemain berkualiti, termasuk import dan warisan, bukan alasan untuk berasa selesa hanya kerana memiliki kontrak dan gaji tetap.
“Pemain lokal kena bangkit dan buktikan kemampuan. Kita tak boleh hanya harap gaji, tapi kena tunjuk matlamat dan nilai sebagai pemain bola sepak. Kita masih layak bersaing jika terus berusaha,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Indra turut terharu apabila diberi peluang untuk beraksi dalam satu perlawanan pertunjukan di antara Selangor FC menentang Asia Warrior FC.
“Ia satu penghargaan besar buat saya. Dapat bersama pemain hebat dari pelbagai negara, dan bermain menentang kelab-kelab kuat di Malaysia, sangat bermakna.”
Beliau pada masa sama turut menzahirkan rasa syukur apabila penyokong masih menghargai sumbangannya dan rakan-rakan seangkatan yang kini sering dijemput dalam perlawanan legenda.
“Bila EX-Treble Kelantan turun padang, sambutan luar biasa. Stadium penuh macam dulu. Saya rasa nostalgia zaman kegemilangan itu kembali. Penyokong masih ingat kami — itu sangat menyentuh hati.”
Indra pada masa tetap dengan sikap merendah diri biarpun kini diberi gelaran sebagai ladenda bola sepak tanah air.
Sementara itu, Indra juga berkata beliau percaya dengan penghargaan penyokong akan menjadi motivasi serta terus memberi inspirasi kepada generasi baharu bola sepak tempatan.