Leroy Sane sah sertai Galatasaray, bakal turun aksi bersama Bayern di Piala Dunia Kelab

Pemain sayap Jerman, Leroy Sane kini sah menjadi milik kelab gergasi Turki, Galatasaray selepas melengkapkan perpindahan percuma dari Bayern Munich.
Dipetik dari BBC, pemain berusia 29 tahun itu menandatangani kontrak tiga tahun dan bakal menerima bayaran tahunan dijamin sebanyak £7.66 juta serta bonus kesetiaan.
Bagaimanapun, sebelum menyertai Galatasaray secara rasmi pada 30 Jun, Sane akan terlebih dahulu beraksi bersama Bayern Munich dalam kempen Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat.
Beliau dijangka tampil dalam perlawanan kumpulan menentang Auckland City, Boca Juniors dan Benfica serta satu aksi pusingan 16 terbaik jika Bayern mara.
Perpindahan Sane ke Turki mendapat perhatian luar biasa apabila lebih sejuta peminat menonton siaran langsung penjejak penerbangan di saluran YouTube Galatasaray bagi menyambut ketibaannya di Istanbul.
Sane menyertai Bayern dari Manchester City pada 2020 dan membantu kelab Jerman itu memenangi beberapa kejuaraan termasuk liga domestik.
Sepanjang empat musim bersama Bayern, beliau menjaringkan 61 gol dalam 220 penampilan, termasuk 13 jaringan musim lalu.
Meskipun Bayern mahu mengekalkannya, Sane memilih untuk menolak lanjutan kontrak.
Situasi ini mencetus keunikan apabila beliau mungkin masih beraksi untuk Bayern dalam kejohanan rasmi walaupun sudah sah menjadi pemain Galatasaray.
Galatasaray baru sahaja menjulang gelaran juara liga dengan mengatasi Fenerbahce yang dibimbing Jose Mourinho.