PSG mudah benam Atletico Madrid pada aksi pertama Piala Dunia Kelab

189

Juara Eropah Paris Saint-Germain (PSG) memulakan kempen pertama mereka di Piala Dunia Kelab FIFA dengan penuh bergaya selepas menewaskan Atletico Madrid 4-0 di Rose Bowl, Pasadena. 

Dipetik dari BBC, beraksi di bawah cuaca panas di hadapan lebih 80,000 penyokong, PSG mendominasi permainan awal dengan 82.6% penguasaan bola dalam 15 minit pertama.


Fabian Ruiz membuka jaringan menerusi rembatan rendah dari luar kotak penalti, sebelum Vitinha menggandakan kelebihan selepas menggelecek masuk ke kawasan tengah benteng Atletico dan menewaskan Jan Oblak sebelum separuh masa.

PSG terus memberi tekanan selepas rehat, dengan Oblak menyelamatkan rembatan melengkung Khvicha Kvaratskhelia yang terkena palang. 

Gol Julian Alvarez pula dibatalkan selepas Koke didapati mengasari Desire Doue ketika menyerang.

Atletico semakin kesukaran apabila Clement Lenglet dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-78 kerana membantah keputusan pengadil dan PSG memanfaatkan kelebihan pemain apabila pemain gantian Senny Mayulu menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-87.

Drama berterusan apabila Ibrahim Mbaye hampir menambah jaringan, namun bola terkena tiang. 

Tidak lama kemudian, VAR mengesan kesalahan tangan oleh Robin Le Normand dalam kotak penalti dan Lee Kang-in tenang menyempurnakan sepakan untuk melengkapkan kemenangan 4-0.

Kemenangan besar ini memberikan amaran awal kepada pencabar lain, menandakan kesediaan PSG untuk melakar sejarah dalam kejohanan berprestij ini.