Perang Rusia dan Ukraine: Piala Asia bawah 23 tahun akan ditunda, dibatal atau ditukar venue?

1,303

Konflik antara Russia dan Ukraine yang tercetus dikhuatiri akan memberikan kesan kepada penganjuran Piala Asia bawah 23 tahun yang bakal berlangsung di Uzbekistan.

Uzbekistan merupakan sebuah negara yang terletak dalam rantau Asia Tengah. Umum mengetahui negara-negara di rantau ini merupakan bekas ahli-ahli Kesatuan Soviet Union. Keruntuhan Soviet Union pada 1991 menyebabkan negara-negara ini memilih jalan sendiri untuk memihak kepada kuasa-kuasa besar dunia.


Uzbekistan sebenarnya mempunyai hubungan diplomatik dengan kedua-dua negara. Misalnya, Uzbekistan merupakan penyumbang utama kapas, tekstil dan produk petroleum kepada Ukraine manakala negara Eropah itu mengeksport gula ke Uzbekistan.

Begitu juga dengan Rusia, kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik sejak dari tahun 1992 selepas kejatuhan Soviet Union.

Perkara buruk mungkin berlaku andainya Rusia menerima sekatan daripada sudut ekonomi akibat daripada tindakan mereka itu. Dan Uzbekistan juga mungkin akan menerima tempias daripada situasi ini.

Jika berlakunya ketidakstabilan daripada segi politik dan ekonomi, penganjuran kejohanan bawah umur berprestij Asia ini dikhuatiri akan turut terjejas. Bagaimana sesebuah negara yang sedang dilanda masalah akan menjadi tuan rumah yang bagus?

Sebagai rantau yang terletak paling hampir dengan kawasan konflik, sudah pasti timbul sedikit kegusaran mengenai keselamatan pemain-pemain yang bakal berkampung di sana untuk menghadapi kejohanan.

Biarpun kejohanan hanya akan berlangsung pada bulan Jun, namun kegusaran ini ada benarnya. Apakah jaminan daripada negara tuan rumah bahawa isu keselamatan akan dititik beratkan?

Jika konflik berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama, masih selamatkah untuk kejohanan ini diteruskan? Dan jika ditunda atau ditukar venue, siapa pula akan menjadi tuan rumah yang baru?

Kejohanan ini sepatutnya diadakan pada bulan Januari 2022, namun telah ditunda ke bulan Jun. Dengan masa yang semakin suntuk, andai benar terdapat kebimbangan tentang isu keselamatan pasukan yang bertanding, AFC perlu mengambil jalan yang terbaik.

Masa sudah semakin suntuk untuk menunda lagi kejohanan ini. Dengan penganjuran pelbagai kejohanan dan temasya sukan utama sepanjang tahun 2022, sudah pastilah ianya agak sukar untuk setiap pasukan menyediakan barisan terbaik bagi menghadapi kejohanan.

Dan jika dibatalkan, satu tindakan yang agak merugikan disebabkan Piala Asia bawah 23 tahun ini merupakan platform melahirkan bakat-bakat baru bola sepak di Asia khususnya. Nama-nama seperti Keita Endo, Nguyen Tien Linh dan Almoez Ali yang lahir daripada kejohanan ini kini merupakan antara nama utama yang sering membarisi skuad kebangsaan negara masing-masing.