England U-21 gagal tumpaskan Slovenia, aksi hidup-mati menanti

Harapan England untuk melangkah bergaya dalam Kejohanan Bawah-21 UEFA terencat apabila mereka sekadar seri tanpa jaringan menentang Slovenia dalam aksi kedua Kumpulan B yang berlangsung di Slovakia.
Dipetik dari BBC, skuad muda kendalian Lee Carsley tampil dominan sepanjang perlawanan namun gagal menoktahkan peluang yang terhidang.
Ethan Nwaneri hampir membuka tirai jaringan manakala Harvey Elliot lebih malang apabila voli kencangnya hanya menggegar tiang gol.
Kapten pasukan, James McAtee, juga dinafikan gol oleh tindakan cemerlang penjaga gol Slovenia, Martin Turk, yang turut menepis tandukan Jack Hinshelwood di hujung permainan.
Carsley melakukan dua pertukaran daripada skuad yang membenam Slovakia sebelum ini, namun perubahan taktikal itu tidak memberi impak ketara.
Keadaan cuaca panas turut menyukarkan skuad Young Lions yang biasanya beraksi dalam keadaan intensiti tinggi.
Slovenia pula membuktikan mereka bukan pasukan pelengkap jadual apabila Svit Seslar menjadi ancaman utama dengan tiga percubaan tepat yang memaksa penjaga gol England, James Beadle, bekerja keras.
Seslar juga hampir mencipta jaringan menerusi cubaan ‘bicycle kick’ yang cukup mengujakan di babak pertama.
Keputusan seri ini meletakkan England di tangga teratas Kumpulan B dengan empat mata, namun tekanan semakin meningkat apabila mereka bakal bertemu Jerman dalam aksi terakhir kumpulan.
Dengan Jerman dan Republik Czech akan berentap kemudian, England mungkin memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri menentang Jerman untuk memastikan tempat ke suku akhir.
Segala-galanya kini bergantung kepada aksi terakhir – satu perlawanan yang bakal menentukan hala tuju kempen muda England di kejohanan ini.