Daddyhood bangga dengan kebangkitan Homebois, fokus kini terarah ke MSC 2025

47

Meskipun tewas 0-4 kepada SRG.OG dalam Grand Final MPL Malaysia Season 15, pengasas Team Homebois, Daddyhood tidak melihat keputusan itu sebagai kegagalan mutlak, sebaliknya beliau menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian luar biasa pasukannya sepanjang musim ini.

“Bukan hari ini sahaja, tapi sepanjang musim ini saya sangat bangga. Musim lepas kami berada di tangga ketujuh, berdepan pelbagai cabaran. 

Tapi tahun ini kami bangkit dan berjaya layak ke Riyadh dengan barisan pemain yang berbeza, satu pencapaian yang cukup besar bagi kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Daddyhood turut mengakui bahawa SRG.OG lebih bersedia untuk aksi final, manakala pasukannya telah mengerah sepenuh tenaga dalam aksi separuh akhir sehari sebelumnya.


“Tenaga kami banyak habis semalam. Itulah hari paling stres bagi saya. Tapi bila menang tu, rasa puas dan lega sangat. Hari ini, kami turun dengan semangat ‘nothing to lose’.”

Dalam pada itu, menjelang MSC 2025, Daddyhood merancang untuk memberi ruang rehat kepada pemain sebelum menyambung latihan intensif. 

Menurutnya, ada yang akan pulang bercuti, manakala sebahagiannya akan menyertainya untuk sesi pemulihan dan persiapan.

“Kita pergi ke MSC nanti dengan status underdog. Orang ramai tak beri harapan pada kita masa awal musim. Jadi sekarang, kita nak buktikan sesuatu. Semua pemain berhak untuk berjaya.”

Daddyhood turut menyentuh cabaran dalam industri e-sukan, terutamanya dari sudut struktur kewangan dan sokongan ekosistem.

“Industri ini perlukan pengorbanan besar. Dari segi kewangan, banyak pasukan hadapi cabaran sama. Saya harap ada sokongan lebih kukuh daripada kerajaan dan syarikat korporat untuk kukuhkan struktur liga.”

Sementara itu, Daddyhood turut mengumumkan pelancaran jersi edisi khas “Blackout Edition” sempena MSC tidak lama lagi.