Kita tak ada pemain Malaysian Abroad, hanya pemain tempatan – Nafuzi Zain

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, Nafuzi Zain menjelaskan bahawa persiapan pasukan menjelang kejohanan Piala AFF B-23 akan menyaksikan skuad negara akan dibarisi oleh pemain tempatan sahaja.
“Kita tak ada Malaysian Abroad – hanya pemain tempatan. Ramai bakat berpotensi di Liga Super. Elite Games menjadi platform utama kita menilai bakat baharu dan sedia ada,”
katanya pada sidang media The Elite Games.
Menurut Nafuzi, untuk Elite Games beliau akan memanggil seramai 26 pemain yang mana kesemua pemain ini akan mengharungi perlawanan ‘sparring’ tertutup di mana setiap pemain akan dinilai oleh barisan kejurulatihan.
Beliau melihat Elite Games sebagai peluang menilai prestasi pemain baharu, termasuk mengenal pasti bakat berpotensi untuk diserap ke dalam skuad utama.
Nafuzi turut memuji pemain seperti Hakimi dan Ubaidullah yang pernah menyertai kem latihan skuad senior sebelum ini, dan menekankan kepentingan keseragaman falsafah permainan dengan pasukan kebangsaan.
“Kita melihat dari segi potensi pemain yang saya rasa bersesuai untuk dengan corak serta permainan kita. Dan sesetengah pemain pun pernah mewakili pasukan kebangsaan bawah 23 tahun, bawah 19 tahun sebelum ini. Dan juga pemain yang belum pernah mewakili sebelum ini pun kita memberi ruang untuk semua.”
Seramai 30 pemain akan dipanggil ke kem latihan pusat bermula 1 Julai hingga 12 Julai, sebagai persediaan sebelum skuad berlepas ke Jakarta untuk aksi pertama menentang Filipina pada 15 Julai 2025.
Dalam pada itu, Nafuzi meletak sasaran realistik iaitu ke separuh akhir namun menegaskan bahawa mereka perlu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Sasaran peribadi saya? Fokus tinggi pada setiap aksi. Kita perlu lepasi peringkat awal dulu – pastikan mara ke semifinal untuk layak ke peringkat seterusnya.”
Tambahnya lagi, skuad negara akan mengharungi tiga perlawanan persahabatan sebagai persiapan sebelum terbang ke Jakarta, Indonesia pada 13 Julai nanti.
Untuk kejohanan Piala AFF, skuad negara telah diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei.
Sementara itu, Nafuzi mengakui aksi pertama peringkat kumpulan menentang Filipina cukup penting bagi memastikan peluang skuad negara untuk mara ke peringkat seterusnya cerah.
“Dalam peringkat kumpulan, kumpulan kita saja yang ada empat pasukan. Kumpulan lain yang lain semua tiga pasukan sahaja. Sebab itu dalam perlawanan pertama, Filipina adalah turning point yang sangat penting untuk kita menang. Kerana perlawanan kedua kita bertemu dengan Brunei. Dan juga akhir sekali untuk bertemu dengan Indonesia. Tough game lah, tough game.”