Kem terjun negara sasar sapu bersih pingat emas di Sukan SEA Thailand

58

Pengarah Teknikal Terjun Kebangsaan, Yeoh Ken Nee meletak Sasaran untuk kem terjun negara menyapu bersih pingat emas dalam empat kategori yang akan dipertandingkan di Sukan SEA Thailand pada Disember depan.

“Pada edisi lalu acara terjun mempunyai 11 acara, bagaimanapun pihak tuan rumah Thailand hanya akan mempertandingkan empat acara.

Seperti biasa MSN (Majlis Sukan Negara) meletak sasaran untuk meraih empat pingat emas,”

katanya.

Menurut Ken Nee, skuad terjun negara yang akan menyertai temasya kali ini dibarisi oleh penerjun pelapis.


“Temasya kali ini agak berbeza kerana kita menurunkan atlet muda atau pelapis untuk menuju ke sukan SEA.”

Tegasnya, keputusan untuk menghantar penerjun muda ke temasya itu sebagai platform penting untuk menilai tahap kemampuan mereka bagi menghadapi kejohanan besar seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Dalam pada itu, Ken Nee turut memberitahu bahawa hanya tujuh penerjun akan diturunkan dengan senarai nama penerjun yang akan menyertai masih belum dapat disahkan berikutan ada lagi penerjun yang belum mencapai skor kelayakan minimum (MQS) untuk bertanding.

“Nurul Farisya Alia dan Eilisha Rania bersaing untuk sukan SEA. Kali ini kami tidak menurunkan Pandalela Rinong dan Yiat Qing kerana mahu memberikan fokus kepada pelapis.”

Beliau pada masa sama turut memuji prestasi cemerlang penerjun muda dari Sarawak, Elvis Priestly, yang berjaya melepasi Standard Kelayakan Minimum (MQS) lebih daripada lima kali, sekali gus melayakkan dirinya ke kejohanan bertaraf antarabangsa.

Sementara itu, skuad terjun negara akan terbang ke Singapura pada Julai untuk menyertai Kejohanan Akuatik Dunia.