PSG tewaskan Seattle Sounders, mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia Kelab
Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati Piala Dunia Kelab FIFA selepas menewaskan Seattle Sounders dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.
Dipetik dari BBC, kemenangan ini memastikan juara Eropah itu menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan B, sekaligus bakal bertemu naib juara Kumpulan A, yang dijangka antara Palmeiras atau Inter Miami.
PSG membuka tirai jaringan dengan sentuhan tuah apabila rembatan Vitinha yang kelihatan tersasar, terkena belakang rakan sepasukan, Khvicha Kvaratskhelia, sebelum bola menerjah jaring menewaskan penjaga gol lawan.
Gol kedua hadir hasil serangan balas pantas. Bradley Barcola bijak menghantar bola ke arah Achraf Hakimi yang tidak mensia-siakan peluang dengan rembatan deras untuk menambah kelebihan PSG.
Sepanjang perlawanan, PSG tampil dominan dan berhak meraih kemenangan.
Desire Doue hampir menambah jaringan apabila mencipta tiga percubaan berbahaya yang memaksa penjaga gol Sounders, Stefan Frei, bekerja keras menafikan cubaan tersebut.
Seattle Sounders hanya mempunyai satu peluang keemasan, apabila penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma, melakukan kesilapan hantaran terus kepada Jesus Ferreira.
Namun, Ferreira gagal memanfaatkannya apabila rembatannya dari sudut sukar sekadar melepasi palang.
PSG kini selangkah lagi untuk merebut kejuaraan dunia kelab yang pertama dalam sejarah kelab Paris itu.