Skuad B-23 akan berdepan PDRM, Melaka FC & Negeri Sembilan FC sebagai persiapan ke Piala Mandiri

Sebagai langkah akhir persiapan menghadapi Piala Mandiri B-23 2025 di Jakarta, skuad kebangsaan B-23 Malaysia yang dikendalikan Nafuzi Zain akan menjalani siri perlawanan persahabatan tertutup menentang tiga kelab Liga Super.
Menurut Nafuzi, tiga kelab tersebut adalah PDRM FC, Melaka FC dan Negeri Sembilan FC.
“Kita akan bermain dengan 3 pasukan iaitu pada 5 Julai kita akan bertemu dengan PDRM, 8 Julai kita akan bertemu dengan Melaka, dan 11 Julai kita akan bertemu dengan Negeri Sembilan FC. Itulah 3 perlawanan yang kita atur,”
katanya.
Nafuzi berkata demikian pada sidang media pengumuman senarai 30 pemain yang dipanggil untuk ke kem latihan pusat yang akan bermula pada 1 Julai hingga 12 Julai yang akan menyaksikan gabungan pemain berpengalaman dan wajah baru.
“Empat pemain ini adalah pemain-pemain dengan Liga Super, dan juga pemain yang pernah bermain dengan B-23 di Kejohanan (AFF) tahun lepas. Saya berharap dengan pengalaman pemain ini dan digabungkan dengan pemain yang baru yang dipanggil, dapat wujudkan persefahaman dan juga membentuk satu gandingan yang baik.”
Dalam pada itu, Nafuzi yang ditanya mengenai sasarannya untuk kejohanan kali ini, beliau meletakkan mara ke separuh akhir sebagai sasaran utama.
“Kita lebih memfokuskan kepada game by game.Kita meletakkan layak ke separuh akhir itu adalah sasaran utama kita. Melepasi kumpulan dan melayakkan separuh akhir memberi ruang dan peluang kita untuk ke perlawanan akhir.”
Beliau turut mengambil inspirasi daripada kemenangan pasukan senior menentang Vietnam baru-baru ini.
Nafuzi turut menyatakan keyakinan terhadap kualiti 30 pemain terpilih, yang dipantau rapi dari kalangan lebih 50 pemain berpotensi.
Sementara itu, Nafuzi juga sedia akan harapan tinggi yang diletakkan oleh peminat susulan kejayaan skuad senior baru-baru ini.
“Sebagai fan memang memerlukan setiap pasukan terutamanya (B-23) untuk berjaya di peringkat antarabangsa. Saya bersedia kerana ini adalah satu cabaran besar. Saya berharap setiap harapan peminat tu kita dapat dibalas balik dengan kejayaan walaupun kita tahu bukan satu benda yang mudah, tapi kita akan tetap berusaha.”