Pogback! Paul Pogba sah sertai AS Monaco

68

Bintang bola sepak Perancis, Paul Pogba sah akan kembali mewarnai semula arena bola sepak apabila dilaporkan akan menyertai AS Monaco.

Menurut wartawan sukan terkemjka, Fabrizio Romano, Pogba kini sah akan menyertai AS Monaco selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan secara lisan.


Menurutnya, pemain berusia 32 tahun itu telah menandatangani kontrak sehingga Jun 2027 dan akan menjalani prosedur perubatan pada minggu ini.

Perpindahan ini menandakan satu langkah besar dalam usaha Pogba untuk menghidupkan semula kariernya yang terhenti sejak musim lalu akibat penggantungan doping dan masalah kecederaan.

Selepas dilepaskan oleh Juventus pada penghujung 2024, Pogba telah menjadi ejen bebas, dan Monaco tampil sebagai kelab yang paling serius untuk mendapatkan khidmatnya.

Selain mahu menambah pengalaman dalam skuad muda mereka, Monaco juga akan bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan, menjadikan Pogba sebagai pelaburan strategik untuk projek jangka panjang mereka.

Sekiranya semuanya berjalan lancar, Pogba dijangka akan menyertai latihan pramusim bersama skuad utama dalam masa terdekat.

Pada 11 September 2023, Pogba telah digantung sementara daripada bermain selepas gagal ujian doping, apabila testosteron bukan endogen dikesan dalam keputusan ujian beliau selepas perlawanan menentang Udinese pada 20 Ogos.

Kegagalan ujian itu disahkan pada 6 Oktober 2023 apabila sampel kedua turut menunjukkan kehadiran testosteron bukan endogen, dan pada 29 Februari 2024, beliau dikenakan penggantungan selama empat tahun oleh Tribunal Anti-Doping Kebangsaan Itali, dengan pilihan untuk membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan.

Namun, pada 4 Oktober, hukuman tersebut telah dikurangkan kepada 18 bulan, yang bermakna beliau boleh mula menjalani latihan pada Januari 2025 dan kembali bermain secara rasmi mulai Mac 2025.