KRW bakal diperkuat dengan dua import dari Sweden & Lubnan
Pasukan Kelantan Red Warrior (KRW FC) kini sedang rancak membuat persiapan rapi bagi mengharungi saingan Liga A1 (semi-profesional) yang akan membuka tirainya tidak lama lagi.
Bagi memastikan kehadiran mereka bukan sekadar pelengkap jadual dan mampu menjadi pencabar utama kejuaraan, KRW dilaporkan telah menandatangani dua pemain import baharu berasal dari Sweden dan Lubnan.
Namun identiti atau butiran lanjut mengenai kedua-dua pemain tersebut masih lagi belum dapat didedahkan buat masa ini.
Dalam pada itu, KRW yang dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman luas Irfan Bakti dan akan turut diperkuat oleh pemain Liga Super seperti Faiz Nasir, Muhaimin Izzudin, Zuasharaf dan ramai lagi.
Dengan barisan kejurulatihan berpengalaman luas dan pemain berkualiti, ternyata KRW mahu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak di negeri Kelantan.
Sementara itu, KRW juga telah memperkenalkan keahlian One Red Family kepada peminat Red Warrior yang mana pelbagai manfaat yang akan diperolehi oleh setiap ahli.
Keahlian tersebut mendapat sambutan cukup memberangsangkan apabila sehingga kini sudah lebih 15,000 orang telah menjadi ahli One Red Family.
Sebagai salah satu persiapan pasukan, KRW akan mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang musuh tradisi Terengganu FC pada 4 Julai di Stadium Sultan Muhammad IV.