Contohi Selangor: Kukuhkan yang sedia ada, bukan tubuh pasukan baharu

Penswastaan Liga Malaysia, yang suatu ketika diharap menjadi pemangkin profesionalisme dan daya tarikan bola sepak negara telah bertukar menjadi mimpi ngeri berikutan majoriti kelab bergelut dengan masalah kewangan yang kronik, mengakibatkan liga domestik tidak seimbang dan kurang kompetitif, didominasi hanya oleh segelintir kelab berkemampuan kewangan teguh.
Dilema ini memuncak dengan pengumuman beberapa pasukan gergasi seperti Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sri Pahang FC, dan Perak FC ‘gulung tikar’ dan tidak menyertai Liga Super musim 2025/26.
Hilangnya pasukan berpengaruh ini bukan sekadar kehilangan nama, tetapi menjejaskan nilai, sejarah, dan daya saing Liga Malaysia secara keseluruhan.
Penswastaan sering dilihat bermula dengan langkah drastik apabila kebanyakan kerajaan negeri memilih menarik diri sepenuhnya daripada pengurusan kelab (FC).
Keputusan ini meninggalkan kelab-kelab yang baru ditubuhkan atau diambil alih swasta berdepan beban kewangan berat tanpa jaringan sokongan mampan yang pernah diberikan negeri sekaligus menyaksikan jurang antara harapan penswastaan dan realiti kewangan kelab kian melebar.
Selangor FC: Model kerjasama Negeri-Kelab yang berjaya
Di tengah krisis ini, Selangor FC muncul sebagai contoh terbaik kerana berbeza dengan trend umum, pasukan Red Giants ini terus menikmati kerjasama erat dan sokongan padu daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) serta Kerajaan Negeri Selangor.
Kerjasama strategik ini melangkaui sekadar sokongan kewangan tetapi ia merangkumi penyelarasan dasar pembangunan akar umbi, penyediaan fasiliti bertaraf tinggi, dan pembinaan identiti negeri yang kukuh.
Hasilnya, Selangor FC bukan sahaja teguh dari segi kewangan tetapi juga membangunkan sistem pembangunan pemain muda yang kukuh dan berjaya mengekalkan daya saing tinggi.
Bukti komitmen terkini Kerajaan Negeri adalah pemberian peruntukan besar RM10 juta kepada Selangor FC bagi menghadapi Liga Malaysia musim 2025/26.
Sumbangan ini disalurkan menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) – MBI dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), menegaskan model sokongan bersepadu yang menjadi tunjang kejayaan mereka.
Kedah: Penubuhan pasukan baharu, pecah belah sokongan?
Nasib berbeza menimpa Kedah, daripada memilih jalan kolaborasi untuk menyelamatkan kelab sedia ada yang berpengalaman, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengambil keputusan kontroversi iaitu menubuhkan pasukan baharu, Kedah FA, untuk bersaing dalam Liga A1 musim 2025.
Ironinya, pasukan sedia ada, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang bergelut dengan masalah kewangan teruk, juga akan bersaing dalam liga yang sama.
Tindakan KFA ini meninggalkan pemilik utama KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, kecewa dan “keseorangan” dalam mencari penyelesaian masalah kewangan kelab, terutamanya selepas beberapa pemilik bersama menarik diri.
Penubuhan Kedah FA bukan sahaja dilihat sebagai tindakan meminggirkan KDA FC yang telah lama berakar umbi dan mempunyai penyokong setia, malah berpotensi mencetuskan perpecahan sokongan peminat di peringkat akar umbi.
Kontras antara pendekatan Selangor dan Kedah amat ketara kerana Selangor membuktikan bahawa kerjasama erat antara Persatuan Negeri, Kerajaan Negeri, dan kelab adalah formula kejayaan mampan.
Mereka mengukuhkan struktur sedia ada, memanfaatkan sejarah, infrastruktur, dan penyokong pasukan yang telah lama wujud.
Sokongan negeri yang bijak dan terarah menjadi pemacu utama.
Sebaliknya, keputusan Kedah untuk menubuhkan pasukan baharu (Kedah FA) selari dengan kewujudan KDA FC dalam liga yang sama merupakan langkah berisiko tinggi.
Ia bukan sahaja membebankan ekosistem bola sepak negeri yang sedia mencabar dengan sumber yang terhad, malah berpotensi memecah belah penyokong dan melemahkan identiti bola sepak Kedah secara keseluruhan.
Pengajaran buat negeri-negeri lain adalah jelas iaitu daripada tergesa-gesa menubuhkan entiti baharu yang mungkin memecahbelahkan, prioritikan untuk mengukuhkan dan menyelamatkan kelab sedia ada yang telah mempunyai sejarah, asas penyokong, dan infrastruktur.
Kolaborasi antara Persatuan Negeri, Kerajaan Negeri, dan pemilik kelab – seperti yang ditunjukkan Selangor adalah jalan yang lebih bijak dan berpotensi membawa kestabilan serta kejayaan jangka panjang.
Sinergi, bukan perpecahan, adalah kunci memulihkan kegemilangan bola sepak negeri-negeri. Contohi Selangor, kukuhkan yang sedia ada.