Rakphol akui laluan sukar menanti, tapi percaya kepada semangat anak buah

Ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan, Rakphol Sainetngam mengakui laluan skuad Harimau Malaya bukanlah mudah apabila diundi dalam Kumpulan G Kelayakan Piala Asia Futsal 2026, namun tetap optimis dengan persiapan rapi yang sedang dilaksanakan.
Malaysia bakal membuka kempen menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 20 September 2025, diikuti Bangladesh (22 September) dan akhirnya menentang gergasi Asia, Iran pada 24 September.
Semua aksi berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Pahang.
“Iran adalah pasukan nombor satu Asia, manakala UAE telah menunjukkan peningkatan ketara. Bangladesh mungkin kurang dikenali di pentas Asia, tetapi kami tidak boleh memandang rendah potensi mereka,”
ujarnya dalam satu kenyataan media.
Namun begitu, jurulatih dari Thailand itu menegaskan bahawa fokus utama bukan semata-mata kepada lawan, tetapi kepada prestasi dan persiapan pasukan sendiri.
“Kita perlu benar-benar bersedia dari segi fizikal, taktikal dan mental. Ini masa terbaik untuk kumpul segala maklumat tentang lawan dan bangunkan pelan yang paling berkesan.”
Lebih menarik lagi, Malaysia akan bermain di laman sendiri buat pertama kali dalam kejohanan futsal antarabangsa selepas lebih tujuh tahun, sejak Sukan SEA 2017.
Oleh itu, beliau menyeru agar penyokong dapat turun membanjiri stadium bagi memberi sokongan padu buat skuad negara.
“Ini peluang istimewa. Saya harap penyokong tempatan akan hadir beramai-ramai. Sorakan mereka akan jadi tenaga tambahan untuk pemain berjuang sepenuh hati di setiap saat permainan.”