Pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat beri nilai tambah kepada FAM – Joehari Ayub

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub percaya pelantikan Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat akan memberikan nilai tambah dan penambahbaikan kepada persatuan.
Menurut Joehari, keputusan melantik Hamidin bukanlah bersifat peribadi, tetapi berlandaskan kredibiliti, pengalaman luas, dan sumbangan besar beliau selama lebih 30 tahun kepada pembangunan bola sepak tanah air dan antarabangsa.
“Kongres yang bersidang pada Kongres Luar Biasa FAM pertama tadi, 2025 telah meluluskan pelantikan mantan Presiden FAM, iaitu Tan Sri Datuk Haji Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat FAM.
Pelantikan Tan Sri Hamidin sebagai Presiden Kehormat FAM adalah berdasarkan kredibiliti, pengalaman serta sumbangan besar beliau selama lebih 30 tahun,”
katanya.
Tambah Joehari lagi, bahawa kehadiran Hamidin akan memberi manfaat khususnya dalam hubungan FAM dengan badan induk seperti FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), dan AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN), serta badan kerajaan dan swasta.
“Memang kita memerlukan keadaan Tan Sri dari segi hubungan dengan FIFA, AFF, AFC dan juga badan-badan kerajaan dan badan swasta, itu adalah penting untuk kita dapat bekerjasama dengan Tan Sri untuk membawa FAM dan bola sepak negara ke tahap yang lebih tinggi.”
Dalam pada itu, Joehari turut menjelaskan bahawa peranan Hamidin adalah untuk menasihati dan membantu berdasarkan pengalaman, bukan untuk membuat keputusan.
“Tan Sri lebih kepada datang membantu untuk menasihat dan kerja. Presiden Kehormat mengikut Artikel 22 adalah hanya untuk memberi nasihat ataupun pandangan mengikut pengalaman yang dia ada.
Semua keputusan akan dibuat oleh EXCO dan juga Kongres. Dan juga Presiden Kehormat tidak ada hak mengundi dalam sebarang keputusan.”
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa jawatan Presiden Kehormat bukanlah jawatan baru sebaliknya ia pernah disandang oleh Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Pada masa sama keputusan pelantikan Hamidin telah mendapat sokongan penuh 100% daripada ahli perwakilan.
Sementara itu, selain pelantikan Presiden Kehormat, Kongres juga meluluskan pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi, dan Ahli-Ahli bagi Jawatankuasa-jawatankuasa Bebas dan Badan Kehakiman FAM bagi penggal 2025-2029.
Pelantikan ini dibuat selaras dengan Artikel 65(4), Artikel 66(3), dan Artikel 67(6) dalam Statut FAM.