Jadual Liga Malaysia akan diumum selepas undian Shopee Cup dan AFC, venue Imigresen FC masih belum dimuktamadkan
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd, menjelaskan bahawa jadual penuh Liga Malaysia musim 2025/26 akan diumumkan selepas beberapa elemen penting seperti undian Shopee Cup dan AFC Champions League (ACL) dimuktamadkan.
Menurut Shazli, penyusunan jadual kini memasuki fasa terakhir, namun MFL perlu menunggu hasil undian Shopee Cup yang dijadualkan berlangsung pada 4 Julai 2025 di Bangkok.
Dua wakil negara, iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC, akan bertanding dalam kejohanan tersebut serta turut terlibat dalam kejohanan peringkat Asia iaitu AFC Champions League Elite (ACLE) dan AFC Champions League Two (ACL2).
“Kita baru dapat maklum bahawa undian Shopee Cup hanya akan dibuat pada 4 Julai, jadi kita terpaksa ‘hold’ jadual liga bagi memastikan dua wakil kita mendapat penjadualan terbaik,”
katanya.
Tambah beliau, maklumat tentang kumpulan dan tarikh perlawanan JDT dan Selangor hanya akan diketahui selepas undian tersebut.
Shazli turut memaklumkan bahawa undian ACL Elite dan ACL2 pula dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos 2025, yang turut akan mempengaruhi jadual liga bergantung kepada penempatan kumpulan dan tarikh perlawanan kelab yang terlibat.
Dalam pada itu, Shazli juga berkata pihak MFL juga kini sedang menunggu pengesahan rasmi lokasi gelanggang tuan rumah daripada pasukan Imigresen FC.
Ia susulan pasukan tersebut pada awalnya mencadangkan Stadium Darul Aman sebagai venue, namun kenyataan dari pihak berkuasa negeri Kedah menyatakan bahawa stadium itu tidak tersedia untuk digunakan oleh pasukan tersebut.
“Setakat ini hanya Imigresen FC yang belum sahkan venue rasmi. Kita beri mereka sehingga 5 Julai untuk kemukakan pengesahan muktamad.”
Beliau juga mendedahkan bahawa menerima makluman bahawa Imigresen sedang mencari venue alternatif di kawasan utara.
Pada masa sama, MFL juga akan memulakan pemeriksaan venue di seluruh negara bermula 2 Julai 2025 bagi memastikan semua stadium yang terlibat mematuhi piawaian teknikal, komersial dan penyiaran.
Pemeriksaan turut akan dijalankan di Brunei, dengan penyertaan pasukan penyiar rasmi dan pegawai teknikal.
Sementara itu, mengulas mengenai kritikan terhadap kelemahan jadual musim lalu, Shazli menegaskan bahawa MFL kini mengambil langkah serius bagi mengurangkan pindaan saat akhir terhadap jadual perlawanan.
“Kita telah mengadakan beberapa sesi taklimat bersama CEO kelab dan wakil persatuan bola sepak negeri untuk menjelaskan kepadatan musim liga yang berlangsung selama 10 bulan. Dengan pelbagai kejohanan seperti Shopee Cup, AFC, FIFA Days dan cuti umum di Malaysia, kita perlu perancangan rapi.”
Tambahnya lagi, dua sesi khas penambahbaikan VAR juga telah dijalankan oleh FAM bersama wakil dari AFC dan FIFA sebagai langkah mempertingkatkan mutu pengadilan menjelang musim baharu.
MFL kini berada di landasan yang tepat untuk memastikan Liga Malaysia musim 2025/26 berjalan dengan lebih lancar, profesional dan bebas dari isu kelewatan penjadualan seperti yang berlaku pada musim terdahulu.