Saddil Ramdani akui Sabah FC tetap di hati, kini fokus bersama Persib Bandung

341

Bekas pemain import Sabah FC, Saddil Ramdani, berkongsi kisah penuh emosi selepas menamatkan tempoh enam tahun pengembaraannya di Liga Malaysia untuk kembali ke tanah airnya bersama kelab gergasi Liga 1 Indonesia, Persib Bandung.

Saddil yang cemerlang ketika bersama skuad The Rhinos dengan statistik mengagumkan iaitu 88 penampilan, 22 gol, dan 30 bantuan jaringan mengakui mendapat beberapa tawaran daripada kelab Liga Super, tetapi beliau menolaknya kerana mengikuti permintaan ibunya yang mahu beliau pulang ke tanah air.


“Ya, ada beberapa (tawaran) yang menghubungi, ada juga rakan yang meminta saya kekal di Sabah, tetapi terdapat beberapa faktor keputusan yang membuatkan saya memilih untuk ke Persib Bandung.

Kedua, kebetulan ibu bapa saya, terutama Mama, menyokong sepenuhnya untuk saya bermain di Persib Bandung. Dia sangat bersemangat, sangat gembira. Akhirnya Mama yang memilih, keluarga memilih Persib Bandung,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jelasnya, beliau sentiasa minta pendapat, persetujuan dan yang penting restu ibu bapa sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau berkata Sabah meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat dirinya termasuk merasai pelbagai kenangan indah, malah mengakui bahawa Sabah adalah rumah keduanya.

“Sabah sebenarnya menjadi rumah kedua terbaik saya. Sejak Coach Kurniawan mengajak saya bermain di Sabah, hati saya memang sudah jatuh cinta di sana, orang-orang terdekat di sana, saya rasa Sabah itu adalah rumah saya sendiri. Sabah boleh dikatakan tempat tercantik buat saya sebenarnya.”

Dalam pada itu, Saddil juga menyampaikan penghargaan tinggi kepada Dato’ Ong Kim Swee, yang dianggapnya seperti bapa sendiri. 

“Coach Ong ialah jurulatih yang membawa saya ke tahap lebih baik dalam Liga Malaysia. Beliau memainkan peranan besar, semasa saya cedera panjang selama 6 bulan beliau sentiasa merawat dan menunjukkan jalan penyembuhan di Kuala Lumpur sehingga saya pulih. Saya sudah anggap beliau seperti bapa sendiri.”

Pada masa sama Saddil turut memahami perasaan sedih penyokong Sabah atas penghijrahan beliau, namun itulah lumrah dalam bola sepak.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai penghijrahannya ke Persib Bandung, Saddil tidak sabar untuk membuktikan kemampuannya sekaligus mahu kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan Indonesia.

“Saya percaya diri, saya bersemangat untuk menunjukkan diri kepada jurulatih bahawa saya boleh memberi yang terbaik. Untuk pasukan kebanggaan kami. Saya ingin menunjukkan yang terbaik buat penyokong setia kita semua.”