Abdul Rashid dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukan SEA & Para ASEAN 2027

110

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027.

Pelantikan ini berkuat kuasa mulai hari ini, dengan Abdul Rashid diberi tanggungjawab utama untuk mengetuai sekretariat yang menyelaras segala aspek persiapan menjelang temasya dwi-tahunan terbesar di Asia Tenggara itu. 


Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-15 yang dijadual berlangsung pada tahun 2027.

Abdul Rashid, 61 tahun, merupakan tokoh berpengalaman luas dalam pengurusan sukan negara dengan penglibatan langsung selama lebih 37 tahun dalam pelbagai jawatan penting di MSN sebelum bersara pada April 2025. 

Pengalaman beliau termasuk peranan penting dalam penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, yang menyaksikan Malaysia muncul juara keseluruhan dengan kutipan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Pelantikan beliau dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan kelancaran penganjuran temasya 2027, yang turut akan melibatkan tiga negeri utama – Sarawak, Pulau Pinang dan Johor – sebagai tuan rumah bersama bagi beberapa acara sukan terpilih.

Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA 2027 telah ditubuhkan secara rasmi selepas diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 26 Mac 2025, menandakan komitmen kerajaan untuk menganjurkan temasya bertaraf antarabangsa dengan standard tertinggi.

Malaysia akan menjadi tuan rumah temasya sukan ini buat kali ketujuh, selepas edisi 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017. 

Pelantikan Abdul Rashid dijangka memperkukuh struktur pengurusan serta mempercepatkan perancangan strategik dalam menjadikan edisi 2027 sebagai antara yang terbaik dalam sejarah penganjuran negara.