Alexander-Arnold balas kepercayaan Real Madrid
Langkah Real Madrid membayar £8.4 juta kepada Liverpool bagi mendapatkan Trent Alexander-Arnold sebelum kontraknya tamat nyata berbaloi apabila pemain bek kanan itu membuktikan nilainya dalam kempen Piala Dunia Kelab.
Dipetik dari BBC, meskipun Real boleh menandatangani pemain berusia 26 tahun itu secara percuma sebulan kemudian, pengendali Los Blancos, Xabi Alonso, mahu beliau menyertai pasukan lebih awal menjelang kejohanan antarabangsa tersebut.
Keputusan itu memberi bonus kewangan buat Liverpool dan memberikan Alexander-Arnold peluang segera untuk menyerlah.
Dalam penampilan awalnya, Alexander-Arnold memainkan peranan penting ketika membantu jaringan penyerang muda, Gonzalo Garcia, sekali gus membawa Real Madrid melepasi Juventus ke suku akhir.
Gol itu sahaja menjana tambahan £10 juta kepada pendapatan Real, dengan kelab itu telah pun memperoleh sekitar £43 juta hanya dengan mara ke kelompok 16 terbaik.
Kini, Real bakal bertemu Borussia Dortmund atau Monterrey di peringkat suku akhir. Sekiranya mereka muncul juara, pulangan keseluruhan boleh mencecah sehingga £125 juta.
Bekas pertahanan Perancis, Gael Clichy, menyifatkan pelaburan itu tepat: “Trent kini ada masa untuk menyesuaikan diri dengan Real.
Ini permulaan terbaik dan Real pasti teruja dengan apa yang bakal ditawarkan oleh Trent selepas ini.”