Kenny Tete pilih setia di Fulham, tolak pindah ke Everton
Hasrat Everton untuk membawa masuk Kenny Tete akhirnya berkubur selepas pemain bek kanan itu mengambil keputusan melanjutkan kontrak bersama Fulham sehingga tahun 2028.
Dipetik dari BBC, keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai perpindahannya ke Goodison Park musim panas ini.
Pemain berusia 29 tahun itu sebelum ini dilaporkan hampir menyertai Everton selepas kontraknya di Craven Cottage tamat, namun Tete, yang menyertai Fulham pada tahun 2020, memilih untuk terus kekal bersama kelab London itu.
“Saya sangat gembira dapat menandatangani kontrak baharu ini untuk diri saya dan keluarga saya. Saya harap dalam tempoh tiga tahun akan datang saya dapat memberikan lebih banyak untuk penyokong,” kata Tete.
“Sejak musim pertama lagi, saya tahu ini adalah kelab keluarga, tempat istimewa untuk saya berkembang. Saya mahu terus bersama pasukan ini dan berusaha untuk lebih banyak pencapaian.”
Everton yang hanya membuat satu pembelian rasmi setakat ini iaitu Carlos Alcaraz dari Flamengo dengan meletakkan posisi bek kanan sebagai keutamaan selepas tidak menyambung kontrak Ashley Young.
Meskipun Seamus Coleman kekal semusim lagi, David Moyes kini dijangka beralih arah kepada sasaran lain seperti Kyle Walker-Peters atau bekas pemainnya di West Ham, Vladimir Coufal.
Fulham pula terus mempertaruhkan pengalaman Tete sebagai tonggak utama di barisan pertahanan mereka musim depan.