Liga A1 mendunia! Bakal disiarkan ke seluruh dunia melalui FIFA+

483

Liga A1 Semipro Malaysia bakal mencatat sejarah baharu apabila perlawanannya akan disiarkan ke seluruh dunia melalui platform ternama FIFA+ pada musim 2025/2026 ini. 

Berita gembira tersebut didedahkan oleh Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Yusoff Mahadi, yang memebritahu bahawa kerjasama strategik tersebut sebagai sebahagian usaha meluaskan liputan siaran langsung liga.


“Kita dah bersama dengan FIFA+. FIFA+ akan mengambil game-game kita untuk ditayangkan ‘worldwide’. Langkah ini meletakkan Liga A1 Semipro, yang berstatus liga separuh profesional dan divisyen kedua Malaysia, di pentas bola sepak global,”

katanya.

Menurut Yusoff Mahadi, biarpun jumlah tepat perlawanan yang akan disiarkan masih belum dimuktamadkan tetapi beliau menjangkakan sekurang-kurangnya satu hingga dua perlawanan akan disiarkan setiap minggu menerusi FIFA+.

Tambahnya lagi, ia membuka peluang lebih besar untuk pasukan tempatan mempamerkan bakat kepada khalayak antarabangsa serta menarik minat peminat global terhadap bola sepak Malaysia.

Selain FIFA+, Yusoff juga memaklumkan bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan turut bekerjasama dengan AFL dengan menyediakan slot untuk 30% perlawanan Liga A1 pada musim ini.

Dalam pada itu, Yusoff Mahadi berkata untuk saingan bagi musim 2025/2026 bakal menyaksikan transformasi signifikan ke arah peningkatan kualiti dan profesionalisme, selari dengan statusnya sebagai liga divisyen kedua (second tier) dalam hierarki bola sepak Malaysia, selepas Liga Super Malaysia (MFL).

Jelasnya, status liga sebagai separuh profesional (semipro) menuntut perubahan holistik, bukan sekadar pada kualiti permainan, tetapi merangkumi aspek pengurusan kelab.

“Kita sudah jadi second tier dan tentu sekali menuntut kepada beberapa perubahan bagi meningkatkan kualiti dan juga kelab-kelab, termasuk kualiti pengurusan-pengurusan kelab. Maksudnya kelab-kelab ini mesti berstatus semipro dan pengurusannya juga mesti berstatus semipro dah. Tidak boleh ‘totally’ amatur punya ‘minded’.”

Beliau pada masa sama turut menjelaskan bahawa pihak AFL telah mengambil pendekatan untuk tidak menetapkan kewajipan buat setiap pasukan untuk menyenaraikan beberapa pemain bawah 23 tahun dalam kesebelasan utama perlawanan.

Ini kerana beliau mahu pemain-pemain muda bersaing secara sihat untuk mendapatkan tempat mereka dalam pasukan dan bukannya berada dalam zon selesa.

“Lebih baik kita beri secara ‘natural’. Secara ‘natural’, pemain-pemain ini mesti bersaing untuk berada dalam pasukan. Saya fikir tentu sekali coach ini terbuka untuk memainkan pemain-pemain muda ini dalam pasukan mereka kalau mereka menunjukkan kesungguhan.”

Bagi mengimbangi jangkaan kenaikan kos pemain import (disebabkan pembukaan pasaran bukan bawah umur), AFL mengurangkan tempoh deposit gaji wajib daripada enam bulan kepada tiga bulan. 

Beliau pada masa sama menegaskan bahawa pihak AFL memberi amaran keras bahawa kelab yang gagal membayar gaji pemain akan dikenakan tindakan drastik dengan menyenarai hitamkan kelab itu dari bersaing dalam liga kendalian AFL.

Sementara itu, Yusoff turut menyambut baik penyertaan kelab antarabangsa iaitu Seoul Phoenix dari Korea Selatan.

“Kelab ni akan membawa sedikit suasana lain dalam liga ini. Saya harap pasukan ni akan merancangkan ataupun menarik lebih ramai orang untuk datang ke stadium tengok.”