Kebangkitan Harimau Malaya di Piala Asia jadi pencetus untuk Seoul Phoenix FC sertai Liga A1

Kejutan pasukan kebangsaan Harimau Malaya ketika mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi dramatik Piala Asia 2023 nyata meninggalkan impak besar kepada komuniti bola sepak Korea, termasuk Seoul Phoenix FC, sebuah kelab baharu yang kini sah menyertai saingan Liga A1 Semipro Malaysia bagi musim 2025-2026.
“Sejak Kim Pan-gon dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, kami mula mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia.
Tapi selepas keputusan seri 3-3 dengan Korea Selatan, minat kami menjadi lebih mendalam. Kami nampak peningkatan ketara dalam mutu bola sepak Malaysia, itu sebabnya kami mahu sertai liga ini,”
ujar Pengurus Seoul Phoenix FC, James Yun.
Menurut James, Malaysia kini merupakan antara negara terbaik di ASEAN dalam bola sepak, sekaligus membuatkan mereka mahu cuba bersaing di Malaysia.
Dalam pada itu, berkongsi lanjut mengenai persiapan pasukan, James berkata kesemua pemain Phoenix kini sedang menjalani latihan di Seoul dan dijangka tiba di Malaysia sebelum liga bermula.
Jelasnya, pasukan itu akan dibarisi oleh 100% pemain dari Korea, namun tidak menolak kemungkinan mengambil pemain import bergantung kepada keperluan dan situasi semasa.
Biarpun hadir sebagai pasukan baharu di Liga A1, James menekankan matlamat pasukan itu jelas iaitu mahu bersaing di kelompok tiga teratas pada musim pertama dan beraksi dalam Liga Super Malaysia dalam tempoh tiga tahun.
“Kami harap dapat mengalahkan semua pasukan dan menang liga ini. Kami tahu ada pasukan kuat seperti JDT II dan Selangor FC II. Tapi kami akan berusaha.”
Sementara itu, James turut berkata persiapan pasukan kini sudah berada di Tahap 70%-80% dan mereka sedang merancang untuk mengadakan beberapa siri aksi persahabatan sebelum sepak mula musim baharu.
Tambahnya lagi, penyertaan Phoenix dalam Liga A1 disifatkan sebagai platform pendedahan dan penyesuaian terbaik untuk jangka panjang.