Joao Pedro sah sertai Chelsea

22

Chelsea meneruskan trend pembelian besar-besaran apabila mengesahkan kehadiran Joao Pedro dari Brighton dengan nilai perpindahan £60 juta, menjadikannya penyerang ke-18 ditandatangani dalam tempoh lebih tiga tahun sejak era pemilik baharu bermula.

Dipetik dari BBC, perpindahan ini turut melonjakkan jumlah keseluruhan perbelanjaan Chelsea untuk barisan serangan kepada £560 juta sejak 2022. 


Pemain berusia 23 tahun itu dijangka terus disenaraikan dalam skuad untuk aksi suku akhir Piala Dunia Kelab menentang Palmeiras di Philadelphia, Sabtu ini.

Joao Pedro menandatangani kontrak lapan tahun bersama Chelsea, meskipun Premier League kini tidak lagi membenarkan kos perpindahan diagihkan sepanjang tempoh kontrak bagi tujuan FFP.

Penyerang kelahiran Brazil itu menyerlah bersama Brighton dengan 30 jaringan dalam 70 penampilan sejak berhijrah dari Watford pada 2023 – ketika itu perpindahan bernilai hampir £30 juta memecah rekod kelab.

“Ini kelab besar dengan sejarah hebat. Saya teruja untuk menyertai Chelsea. Di sini, anda hanya perlu fikir satu perkara – menang,” katanya.

Ketua jurulatih Brighton, Fabian Hurzeler menyifatkan perpindahan ini sebagai keputusan yang baik buat semua pihak dan membuka peluang buat Joao menyinar di pentas Liga Juara-Juara serta mengekalkan tempatnya dalam skuad Brazil menjelang Piala Dunia 2026.

Sementara itu, Chelsea dilaporkan semakin hampir mendapatkan Jamie Gittens dari Borussia Dortmund dengan nilai £55 juta.