KDA FC dalam fasa pemulihan, komited lunaskan tunggakan gaji dan bina pasukan muda

278

Pengurus Besar Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mohamad Faidhi Bin Mohd Rohdzi memberitahu bahawa pihak kelab mengambil pendekatan realistik apabila memilih untuk fokus kepada proses pemulihan menyeluruh dalam saingan Liga A1 Semipro Malaysia musim 2025/2026.

Menurut Faidhi, KDA memilih untuk melangkah secara tersusun iaitu memperkukuh asas kewangan, menstruktur semula pengurusan serta memfokuskan kepada pembangunan bakat muda tempatan.


“Kami memilih untuk membina semula dari bawah. Proses ini menuntut pengurusan yang lebih berhemah dan strategi yang mampan. Kita tidak mahu ulangi kesilapan lalu.

Kami dalam fasa pemulihan, persetujuan semula dan pembangunan. Bajet kelab kini dianggarkan antara RM2.5 juta hingga RM3 juta,”

katanya.

Jelasnya, berdasarkan bajet tersebut pihak pengurusan akan berhati-hati alam membuat perbelanjaan, hanya menumpukan kepada elemen-elemen penting.

Faidhi pada masa sama turut menekankan komited mereka untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

“Kita tidak lupa. Kita sedang merangka untuk bergerak ke depan sambil selesaikan apa yang tertunggak. Gaji pemain dan pegawai lama tetap menjadi keutamaan.”

Dalam pada itu, bagi saingan Liga A1 musim ini skuad Sang Kenari akan memberi tumpuan kepada pembangunan pemain muda, yang menyaksikan skuad itu akan dibarisi oleh pemain bawah 23 tahun dan dari skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

Bagi memastikan visi dan misi tersebut dapat dicapai, KDA telah melantik bekas ketua jurulatih PDRM FC iaitu Azzmi Aziz.

“Kami lantik Coach Azmi Aziz selepas menilai beberapa calon. Beliau berpengalaman dalam membimbing pemain muda dan sesuai dengan struktur gaji semasa pasukan. Matlamat kami adalah untuk membina daripada bawah dan melahirkan semula skuad Kedah yang kompetitif dalam jangka masa panjang.”

Beliau pada masa sama juga memaklumkan bahawa KDA merancang untuk kekal dalam saingan Liga A1 sekurang-kurangnya dua hingga tiga musim kerana mahu betul-betul bersedia dari segi pengurusan, kewangan dan sokongan sebelum kembali ke Liga Super.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu dua pasukan Kedah iaitu KDA FC dan Kedah FA yang kini bersaing dalam liga yang sama, Faidhi menghormati hak penyokong untuk memilih pasukan mereka. 

Katanya, kesetiaan tidak boleh dipaksa, dan apa yang penting ialah kedua-dua entiti tetap menyumbang kepada pembangunan bola sepak negeri.

“Penyokong bukan seperti baju yang boleh ditukar-tukar. Mereka ada emosi, kenangan dan kepercayaan tersendiri. Kita hormati semua penyokong, sama ada mereka sokong KDA FC atau KFA. Yang penting, kita semua mahu bola sepak negeri Kedah terus berkembang.”