Liverpool tolak tawaran Bayern Munich untuk Luis Diaz

Liverpool sekali lagi menunjukkan pendirian tegas apabila menolak pendekatan rasmi daripada Bayern Munich untuk mendapatkan penyerang utama mereka, Luis Diaz.
Dipetik dari BBC, pengarah sukan Bayern, Max Eberl telah dimaklumkan bahawa kelab dari Merseyside itu tidak berhasrat untuk melepaskan pemain antarabangsa Colombia itu dalam jendela perpindahan kali ini.
Ini merupakan kali kedua dalam musim panas ini Diaz menarik minat kelab besar Eropah, selepas Barcelona juga dikatakan membuat tawaran yang turut ditolak.
Malah, Liverpool telah menetapkan bahawa Diaz, yang menyumbang besar dalam kejayaan skuad kendalian Arne Slot musim lalu, tidak akan dijual pada sebarang harga.
Sejak menyertai Liverpool dari Porto pada 2022, Diaz tampil cemerlang dengan menjaringkan 22 gol untuk kelab dan negaranya musim lalu.
Dalam kempen Premier League, Diaz mencatat 13 gol dan 7 bantuan jaringan, sekaligus membantu Liverpool merangkul kejuaraan liga dengan kelebihan 10 mata.
Diaz yang masih berbaki dua tahun kontrak di Anfield turut menyatakan komitmennya kepada kelab.
“Saya sangat gembira di Liverpool. Jika diberi lanjutan kontrak, saya terima. Jika tidak, saya akan teruskan baki kontrak saya dengan penuh semangat,” ujar Diaz.
Dalam perkembangan lain, Liverpool mengumumkan pelantikan Giovanni van Bronckhorst sebagai penolong jurulatih Arne Slot, menggantikan John Heitinga yang menyertai Ajax.
Pelantikan ini dijangka mengukuhkan struktur kejurulatihan Liverpool menjelang musim baharu.