Perak FA sasar kembali ke Liga Super

Penolong Pengurus Perak FA, Zainal Anuar Abd Rashid memberitahu Perak akan tampil dengan semangat baharu menjelang saingan Liga A1 Semipro musim 2025/26 dengan misi jelas untuk kembali ke pentas tertinggi bola sepak negara.
“Harapan saya agar Perak bukan sekadar mencabar dalam liga ini, tetapi mampu mencipta kejayaan besar di penghujung musim,”
katanya.
Zainal juga optimis bahawa skuad The Bos Gaurus Sudah bersedia untuk kembali ke Liga Super.
“Saya yakin dengan pimpinan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin yang juga Naib Presiden FAM. Apabila peluang terbuka, kami akan sedia untuk kembali ke Liga Super.”
Dalam pada itu, Zainal juga berkata Perak turut merancang untuk memperkuatkan pasukan dengan kehadiran pemain import. Menurut Zainal, sesi pemilihan (trial) pemain import dijadual berlangsung pertengahan Julai, dengan tarikh akhir pendaftaran pada 30 Ogos.
“Kita akan uji pemain import dalam dua perlawanan persahabatan – menentang ATM pada 17 Julai dan Melaka FC dari Liga Super pada 25 Julai. Dari situ kita akan nilai kesesuaian mereka untuk diserap ke dalam skuad.”
Sementara itu, meskipun tidak memiliki bajet besar, Zainal menegaskan bahawa pengurusan pasukan menyalurkan peruntukan mengikut keperluan untuk menjadi pencabar utama dalam Liga A1.
“Bajet kita tidak sebesar mana, tapi cukup untuk bersaing. Fokus kami adalah prestasi di padang dan membina pasukan yang mantap.”
Perak meletakkan sasaran tinggi dalam kempen musim baharu dan berharap sokongan peminat akan terus menjadi pembakar semangat dalam usaha membawa semula nama Perak ke pentas bola sepak elit negara.