Joel Cornelli kekal optimis aksi menentang Korea Utara pada Sabtu

Ketua jurulatih Malayan Tigress, Joel Cornelli sedar akan cabaran besar menanti pasukannya apabila mereka akan bertemu dengan pasukan gergasi Korea Utara dalam aksi terakhir Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 pada Sabtu ini.
Menurut Cornelli, bagi memastikan skuad negara mampu beri saingan beliau akan melakukan beberapa perubahan terutamanya di bahagian pertahanan.
“Kami tahu perlawanan ini sukar, jadi kami akan ubah sedikit susunan pasukan supaya dapat bermain lebih bertahan dan lebih kukuh di bahagian pertahanan supaya lebih konsisten,”
katanya.
Walaupun pasukan Korea Utara berada di tahap lebih tinggi berbanding skuad negara, Cornelli percaya dalam bola sepak tiada yang mustahil dan apa sahaja boleh berlaku.
“Perlawanan menentang Korea Utara adalah sesuatu yang berbeza. Pasukan itu berada pada tahap yang jauh lebih tinggi seperti yang dapat dilihat, mereka telah menjaringkan 20 gol dalam dua perlawanan.
Kami masih mempunyai peluang kerana jumlah mata yang sama dan seperti mana-mana perlawanan segala kemungkinan boleh berlaku di atas padang.”
Dalam pada itu, pemain terbaik perlawanan, Intan Sarah menyuarakan keyakinan beliau terhadap pasukannya untuk memberikan aksi terbaik menentang Korea nanti.
“Saya rasa kita perlu terus menyimpan harapan untuk memberikan yang terbaik menentang Korea.”
Biarpun ini kali pertama Intan beraksi dalam Kelayakan Piala Asia, beliau dan rakan sepasukan komited untuk memberikan persembahan bertenaga pada aksi terakhir untuk cuba merebut slot ke kejohanan paling berprestij di Asia itu.
“Tiada apa yang mustahil namun kita perlu terus percaya pada diri sendiri dan percaya pada rakan sepasukan. Kami akan berikan yang terbaik untuk perlawanan terakhir nanti.”
Sementara itu, Malayan Tigress kini dalam misi ‘mustahil’ untuk mendapatkan tiga mata penuh kerana hanya juara kumpulan sahaja yang akan layak ke Piala Asia Wanita 2026 yang akan berlangsung di Australia.