Chelsea hampir lengkapkan perpindahan Jamie Gittens dari Dortmund

18

Chelsea hampir melengkapkan perpindahan pemain sayap muda Borussia Dortmund, Jamie Gittens, selepas kelab Bundesliga itu mengesahkan persetujuan telah dicapai antara kedua-dua pihak.

Dipetik dari BBC, pemain England Bawah 21 Tahun berusia 20 tahun itu dilaporkan bakal menyertai Chelsea dengan nilai perpindahan sekitar £48.5 juta, ditambah £3.5 juta dalam bentuk bonus berdasarkan prestasi. 


Perjanjian ini dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat setelah butiran kontrak dimeterai secara rasmi.

Gittens telah bersetuju dengan kontrak selama tujuh tahun bersama Chelsea sejak Jun lalu. Kedua-dua kelab bertemu di Fort Lauderdale, Amerika Syarikat, ketika mereka menyertai kejohanan Piala Dunia Kelab.

Pengarah Sukan Dortmund, Sebastian Kehl, mengakui perbincangan dengan Chelsea mencabar namun berpuas hati dengan hasil rundingan tersebut. 

“Jamie ialah pemain istimewa yang telah mencipta banyak momen indah bersama kami. Kini dia mahu mencabar dirinya di Chelsea dan kami mendoakan kejayaan untuknya,” katanya.

Gittens menyertai Dortmund dari Manchester City pada 2020 dan telah menjaringkan 17 gol serta 14 bantuan jaringan dalam 107 perlawanan.

Dia tidak akan didaftarkan untuk beraksi dalam skuad Chelsea di Piala Dunia Kelab, namun dijangka menyertai pasukan selepas kejohanan tersebut berakhir.