Giroud kembali ke Ligue 1, sah sertai Lille selepas tinggalkan LAFC

20

Penyerang legenda Perancis, Olivier Giroud sah kembali ke saingan Ligue 1 apabila menandatangani kontrak selama setahun bersama Lille selepas menamatkan tempoh bersama kelab Major League Soccer (MLS), Los Angeles FC.

Dipetik dari BBC, Giroud, yang kini berusia 38 tahun dan bakal mencecah 39 pada September, kembali ke tanah air selepas 13 tahun berkelana di luar negara. 


Kali terakhir beliau beraksi dalam Ligue 1 adalah pada musim 2011/12, ketika membantu Montpellier muncul juara liga.

“Saya sangat gembira dan teruja untuk kembali ke Perancis, ke rumah sendiri. Kembali ke Ligue 1 selepas 13 tahun adalah keputusan yang tepat,” ujar Giroud. 

Lille adalah kelab yang saya hormati dan saya mahu menyumbang kepada pasukan muda ini dengan pengalaman yang saya miliki.”

Giroud sebelum ini pernah menyinar bersama Arsenal dan Chelsea di England, menjaringkan lebih 100 gol untuk The Gunners dan memenangi pelbagai kejuaraan termasuk Liga Juara-Juara bersama Chelsea. 

Selepas kejayaan bersama AC Milan di Serie A, beliau mencuba nasib di MLS bersama LAFC, namun hanya menjaringkan lima gol dalam 37 perlawanan.

Beliau juga meninggalkan legasi besar di pentas antarabangsa, bersara tahun lalu sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis dengan 57 gol dalam 137 penampilan, termasuk membantu Les Bleus menjulang Piala Dunia 2018.